Header Ads

test

FAST MBAS: TRANSFORMASI DIGITAL BANDARAYA ALOR SETAR

ALOR SETAR – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melancarkan aplikasi FAST (Friendly and Smart Technology) sebagai langkah memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan sejajar dengan perubahan era digital.
Menurut Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kaedah pembayaran yang diperkenalkan MBAS mempermudah urusan harian rakyat.
“Saya amat hargai usaha MBAS ini kerana selain kemudahan yang ditawarkan menerusi aplikasi ini, FAST MBAS tidak ketinggalan mempromosi Tahun Melawat Kedah 2025 yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Tambahnya, FAST MBAS (Friendly and Smart Technology Majlis Bandaraya Alor Setar) adalah aplikasi telefon pintar yang membolehkan orang ramai membuat bayaran dan semakan perkhidmatan MBAS.
Jelasnya lagi, pemaparan info berkaitan lokasi pelancongan dan tempat-tempat yang menarik serta menjadi tumpuan orang ramai di sekitar Bandaraya Alor Setar mampu memberi manfaat yang besar kepada pengunjung, terutama dari luar negeri Kedah.
“Aplikasi FAST bukan sahaja membolehkan orang ramai membuat bayaran cukai pintu, tetapi turut menyediakan kemudahan untuk membuat bayaran seperti sewaan gerai dan premis, bayaran lesen, bayaran kompaun serta pelbagai perkhidmatan lain lagi.
Beliau berkata sedemikian sewaktu Majlis Pelancaran Aplikasi Fast Majlis Bandaraya Alor Setar di Aman Central Alor Setar.
“Ini merupakan langkah besar ke arah merealisasikan Kedah Cashless 2025, di mana penggunaan tunai semakin dikurangkan, dan peralihan ke sistem digital diterima sebagai norma di kalangan rakyat,” jelasnya.
Sanusi berkata, perkara ini merupakan inisiatif ke arah pendigitalisasi perkhidmatan awam.
“Pada hari ini, kita juga dapat melihat bagaimana kerjasama antara pihak kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan sektor swasta telah menghasilkan satu platform yang sangat memberi impak positif kepada masyarakat dan ini adalah satu contoh terbaik bagaimana inisiatif awam-swasta dapat membantu memperbaiki sistem perkhidmatan di peringkat akar umbi.
“Saya berharap FAST bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Alor Setar, tetapi juga menjadi contoh yang boleh diteladani oleh seluruh negeri Kedah dalam merealisasikan visi Kedah Digital dan Kedah Cashless 2025,” ujarnya.

 

Tiada ulasan