KEBAKARAN DI KUPANG: KERAJAAN KEDAH PERTIMBANG BANTU MANGSA
KUALA KETIL – Kerajaan Negeri Kedah sedang mempertimbangkan pemberian bantuan kepada mangsa kebakaran di Kupang yang mengakibatkan kemusnahan 10 kediaman secara berturut-turut sejak Disember lalu.
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kebakaran yang berlaku dari 24 Disember 2024 hingga 12 Januari 2025 itu dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat.
"Pejabat Daerah telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran ini.
"Saya bersama Exco akan membincangkan perkara ini dalam mesyuarat akan datang untuk membantu mereka, terutama yang kehilangan rumah sepenuhnya," katanya.
Menurut beliau, kebakaran berkenaan menyebabkan mangsa kehilangan tempat tinggal dan terpaksa menumpang di rumah saudara-mara mereka.
"Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada semua mangsa kebakaran. Kami faham kesukaran yang mereka hadapi dan akan berusaha meringankan beban mereka," ujarnya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Kampung Sejahtera Negeri Kedah di UniSHAMS hari ini.
Bagi mengekang kejadian khianat itu, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang telah mengaktifkan pos kawalan di kawasan kampung yang terjejas.
Tambahnya, pihak kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak polis mengenai insiden tersebut.
Post a Comment