PERTANDINGAN KAMPUNG SEJAHTERA PEMANGKIN PEMBANGUNAN HOLISTIK
KUALA KETIL - Pertandingan Kampung Sejahtera merupakan inisiatif untuk menggalakkan pembangunan holistik kampung melalui aspek kebersihan, keselamatan, kemudahan awam dan kesejahteraan sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, YB Dato’ Ustazah Hajah Siti Ashah Haji Ghazali berkata, pertandingan itu merupakan langkah untuk memupuk semangat gotong-royong dan kerjasama dalam kalangan penduduk kampung bagi menjadikan kampung lebih selamat, bersih dan sejahtera.
“Pertandingan ini adalah satu permulaan yang baik, tetapi usaha untuk mencapai sebuah kampung yang benar-benar sejahtera dan harmoni harus diteruskan. Marilah kita bersama-sama merancang masa depan yang lebih baik untuk kampung kita,” ujarnya dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kampung Sejahtera Peringkat Negeri Kedah di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah, UniSHAMS di sini hari ini.
Tambahnya, melalui pertandingan ini dapat memberi peluang kepada setiap kampung untuk menunjukkan inisiatif dan kreativiti mereka dalam menyelesaikan masalah setempat serta meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Beliau juga menyeru kepada semua ketua kampung untuk lebih cakna dan aktif dalam membantu menjaga masyarakat kampung.
“Sebagai contoh yang boleh diambil adalah membantu masyarakat kampung mengusahakan projek ekonomi yang boleh membantu masyarakat kampung meningkatkan pendapatan mereka.
“Projek-projek ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kewangan, tetapi juga dapat meningkatkan kemahiran dan keupayaan ekonomi penduduk kampung,” katanya.
Jelasnya lagi, sempena Tahun Melawat Kedah 2025, satu usaha untuk memperkenalkan sejarah kampung perlu dilaksanakan untuk menarik pelancong serta memberi nilai tambah kepada ekonomi setempat.
Katanya, setiap kampung di negeri kedah memiliki keunikan sejarah, budaya, dan tradisi yang berpotensi untuk dipromosikan kepada pelancong.
Post a Comment