Header Ads

test

KEDAH HALF MARATHON MERIAHKAN INDUSTRI PELANCONGAN DI YAN


YAN – Kedah Half Marathon 2025 yang berlangsung di Jambatan Pulau Bunting hari ini bukan sahaja mencatatkan penyertaan ribuan pelari malah memberi impak positif kepada sektor pelancongan di daerah Yan.
Acara itu yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Kedah 2025 telah menarik peserta dari dalam dan luar negara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah, YB Dato’ Ustaz Mohd Azam bin Abd Samat, penganjuran acara berskala besar itu menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pelancongan desa, sejajar dengan identiti Yan sebagai Daerah Pelancongan Desa dan Tenaga'.
“Penganjuran Kedah Half Marathon bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat. Kehadiran peserta dan pelancong meningkatkan permintaan terhadap penginapan, makanan, cenderamata, serta aktiviti pelancongan di Yan,” katanya dalam ucapan perasmian.
Beliau turut menekankan bahawa Yan mempunyai pelbagai daya tarikan semula jadi seperti Gunung Jerai, air terjun, pantai serta keunikan perkampungan nelayan yang berpotensi untuk dikomersialkan sebagai produk pelancongan utama Kedah.
“Yan memang cantik dengan suasana desa yang tenang. Saya dan keluarga mengambil peluang untuk bercuti di sini selepas acara larian. Ini pengalaman yang sangat berbaloi,” ujar beliau.
Dalam majlis yang sama, Mohd Azam bin Abd Samat turut melancarkan International Kedah Trail Run – Jerai Geopark 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 5 Julai 2025 di Geotapak Sungai Teroi, Bukit Yan, Kedah.

Tiada ulasan