Header Ads

test

KEDAH KOMITED PELIHARA PERPADUAN KAUM


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah komited untuk terus memelihara perpaduan sebagai sebuah kerajaan untuk semua, memastikan kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran dinikmati oleh setiap lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam dan NGO, YB Wong Chia Zhen berkata negeri Kedah yang kaya dengan tradisi dan sejarah, terus menjadi contoh keunikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengutamakan keharmonian.
Katanya, Perayaan Tahun Baru Cina di negeri itu memperlihatkan bagaimana masyarakat Melayu, Cina, India, Siam dan lain-lain dapat berkumpul dalam suasana muhibah, tanpa mengira perbezaan latar belakang.
“Tahun ini, sambutan diadakan di lokasi yang cukup simbolik, di antara Pekan Cina dan Pekan Melayu yang melambangkan keharmonian dan hubungan erat antara kaum sejak dahulu lagi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2025 bertempat di Jambatan Pintu Gerbang Muhibah Pekan Cina, semalam.
Tambah beliau, Tahun Baru Cina bukan sekadar perayaan biasa, tetapi satu simbol kegembiraan, kemakmuran dan harapan baharu.
Jelasnya lagi, Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta keluarga Diraja ke majlis itu adalah satu penghormatan besar kepada masyarakat Tionghoa, yang melihat Tuanku bukan sekadar sebagai penaung negeri, tetapi sebagai pelindung keamanan dan kemakmuran rakyat jelata.
“Masyarakat Tionghoa Kedah menjunjung kasih dan setia di bawah naungan Tuanku, sentiasa menyokong segala usaha kerajaan negeri dalam memajukan negeri Kedah ke arah kejayaan yang lebih besar.
“Marilah kita semua mengambil kesempatan ini untuk memperkukuh hubungan sesama kaum, menghargai warisan budaya yang kita miliki, serta terus menyokong pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam membawa negeri Kedah ke tahap yang lebih tinggi,” kata beliau.

Tiada ulasan