KEDAH TIDAK PINGGIRKAN MANA-MANA KAUM DALAM PENTADBIRAN
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah sentiasa berpegang kepada prinsip dan hak yang perlu dihormati oleh semua kaum seperti yang termaktub dalam Undang-Undang dan Perlembagaan.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dalam membawa kesejahteraan kepada seluruh lapisan masyarakat, kerajaan negeri akan sentiasa bekerja keras membawa kesejahteraan dan kemakmuran serta mempermudahkan setiap urusan kehidupan rakyat negeri Kedah tanpa mengira latar belakang.
“Kerajaan Tuanku tidak sekali-kali meminggirkan mana-mana kelompok sama ada dari segi kaum, agama, taraf hidup, pendidikan, ideologi politik mahupun apa-apa perbezaan yang lain dalam menentukan sebarang dasar atau keputusan yang dibuat oleh Kerajaan,” jelasnya.
Tambahnya, kebajikan orang bukan Islam turut menjadi keutamaan dalam memastikan kehidupan yang dinikmati sentiasa berada dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
“Sebagai hamba Tuhan, kita tida boleh memilih kaum atau warna kulit untuk kita dilahirkan, yang kita boleh pilih ialah agama atau kepercayaan,” ucapnya.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah Tahun 2025 di Jambatan Pintu Gerbang Muhibah, Pekan Cina, Alor Setar.
Jelasnya lagi, hal ini turut ditekankan dalam ajaran Islam bahawa kita ditegah daripada mendiskriminasikan warna kulit serta tidak unsur paksaan dalam beragama.
Sanusi berkata, beliau yakin bahawa nikmat ini akan terus dirasai dari masa ke masa sekaligus mengukuhkan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat.
“Sering patik tegaskan dalam ucapan-ucapan patik bahawa patik bukanlah Menteri Besar Kedah untuk orang Melayu sahaja, bukan Menteri Besar untuk orang Islam sahaja, juga bukan untuk orang PAS atau Perikatan Nasional sahaja, tetapi patik bertanggungjawab ke atas semua 2.2 juta rakyat jelata Tuanku,” tegasnya.
Post a Comment