SUKAN TRADISIONAL WARISAN BUDAYA YANG BERNILAI
ALOR SETAR - Sukan tradisional merupakan warisan budaya yang amat bernilai dalam membentuk identiti sebagai rakyat Malaysia, khususnya di negeri Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, YB Dato' Haji Mohd Salleh Saidin berkata, Kejohanan Sukan Mini Gemaputera Tradisional Kedah 2025 dapat mengukuhkan silaturahim, perpaduan dan semangat kesukanan antara warga kerja agensi di bawah Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif dan Wakil-Wakil Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) seluruh Malaysia.
Menurutnya, sukan itu menjadi satu platform penting dalam mempromosikan Tahun Melawat Kedah 2025 dengan tema 'Experience Kedah'.
"Sepanjang acara ini berlangsung, semangat kesukanan yang tinggi dapat disaksikan, selain dapat mengimbau kembali permainan tradisional yang menjadi kebanggaan negeri Kedah.
"Acara seperti sepak raga ratus, bola jaring bendang, futsal bendang, congkak, mengai alor, dan dam aji juga melambangkan nilai kecekalan, semangat kesukanan dan perpaduan yang telah diwarisi turun-temurun," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian dan Penutupan Sukan Mini Gemaputera Tradisional Kedah 2025 bertempat di Frazel Expo dan Convention Hall.
Tambahnya lagi, selaku tuan rumah, kerajaan negeri amat berbesar hati dan berharap semua peserta dapat menikmati pengalaman yang berharga sepanjang berada di negeri Kedah.
Beliau berharap kejohanan itu akan terus berkembang dan menjadi platform yang lebih besar untuk mempromosi budaya melalui sukan-sukan yang dipertandingkan dan mengukuhkan hubungan silaturrahim.
Post a Comment