Header Ads

test

WATLOW ELECTRIC MALAYSIA SDN. BHD BUKA KILANG BAHARU DI KULIM

KULIM - Watlow Electric Malaysia Sdn. Bhd membuka kilang baharu di Kulim dengan anggaran jumlah pelaburan bernilai RM243 juta bagi pelan pengembangan masa depan termasuk bangunan tambahan dan pusat penyelidikan & pembangunan (R&D).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi & Inovasi, YB Dr Haim Hilman Abdullah yang mewakili Menteri Besar Kedah, kilang seluas 65,000 kaki persegi itu memainkan peranan penting dalam memenuhi 80 peratus permintaan produk di rantau Asia-Pasifik.
Jelasnya, pencapaian itu menandakan satu lembaran baharu dalam perjalanan global Watlow dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia, khususnya Kedah, sebagai hab strategik dalam sektor pembuatan industri.
“Sejak ditubuhkan pada tahun 1922, Watlow telah menjadi peneraju dalam teknologi sistem pemanasan.
“Dengan lebih 100 tahun kepakaran, 18 pusat teknologi dan pembuatan global, serta lebih 4,000 pekerja di seluruh dunia, Watlow terus menerajui inovasi.
“Kini, syarikat ini memiliki lebih 1,100 paten dan berkhidmat dalam pelbagai industri termasuk elektronik, automotif, aeroangkasa, dan semikonduktor,” ujarnya ketika merasmikan Pembukaan Besar Watlow Malaysia Sdn. Bhd. di Kulim.
Tambah beliau lagi, keputusan Watlow membina kilang di Kedah mencerminkan kepercayaan mereka terhadap pasaran Malaysia serta kejayaan besar kerajaan negeri dalam menarik pelaburan asing dan memodenkan industri.
Katanya, kerajaan negeri Kedah akan terus memberikan sokongan padu kepada para pelabur melalui Invest Kedah Bhd bagi memastikan kelancaran semua projek kerjasama serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan kemakmuran ekonomi untuk rakyat.
“Dengan menyediakan kemudahan perniagaan, pembangunan infrastruktur, dan peningkatan kemahiran tenaga kerja, kami memastikan para pelabur, termasuk Watlow, mendapat manfaat daripada kestabilan perniagaan jangka panjang,” ujar beliau.

Tiada ulasan