Header Ads

test

“CORDOBA OF KEDAH” LONJAK KEDAH SEBAGAI HAB KEILMUAN ISLAM — 6 PENYELIDIK UNI PENERIMA GERAN PENYELIDIKAN PRESTIJ

Isnin, 24 Mac 2025 – Kedah sekali lagi mencipta sejarah keilmuan apabila Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) menganjurkan Majlis Penyampaian Surat Tawaran Geran Penyelidikan Cordoba of Kedah 2025 dengan penuh gilang-gemilang hari ini.
Majlis yang dirasmikan oleh YB Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, menyaksikan sebanyak 6 penyelidik terpilih daripada 25 permohonan berjaya menerima geran penyelidikan berimpak tinggi, hasil saringan teliti melibatkan pelbagai institusi terkemuka termasuk UKM, UM, UTM, dan UiTM.
“Program Cordoba of Kedah (COK) ini bukan sekadar satu lagi inisiatif akademik, tetapi sebuah agenda strategik berteraskan transformasi intelektual berasaskan tamadun Cordoba,” tegas YB Prof. Dr. Haim Hilman dalam ucapannya.
Beliau turut menyarankan penglibatan practitioners industri dalam pasukan penyelidikan demi memastikan kajian yang lebih praktikal dan menyumbang terus kepada pembangunan negeri.
Naib Canselor UniSHAMS, Prof. Dr. Mohd Amy Azhar pula menekankan peranan Institut Kajian Strategik Darul Aman (IKTIKAD) sebagai agensi pelaksana utama, dan menzahirkan harapan agar geran penyelidikan tahun ini menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula kegemilangan ilmu Islam di Kedah.
Dengan nilai permulaan geran RM30,000 dan tumpuan kepada 6 teras pendidikan dari pra sekolah hingga pengajian umum, Program COK dijangka menjadi tunjang dalam mengangkat Kedah sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan tamadun Islam serantau.
"Geran ini bukan sekadar dana, tetapi amanah intelektual dan strategi pembangunan negeri yang mesti ditunaikan dengan penuh integriti,” ujar YB. Dr. Haim Hilman dengan penuh semangat.
Kedah kini menuju masa depan keilmuan yang lebih progresif berpaksikan warisan, dibina atas asas strategi, dan digerakkan oleh para cendekiawan tempatan.

Tiada ulasan