SULTAN KEDAH SEMPURNAKAN MAJLIS AGIHAN ZAKAT
ALOR SETAR – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman berkenan berangkat ke Majlis Agihan Zakat dan Berbuka Puasa yang berlangsung di Dewan Utama Kompleks Pembangunan Asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Mergong.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Hj Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato' Paduka Syeikh Fadzil Awang; Pengerusi Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, YB Dato' Ustaz Mohd Azam.
Dalam majlis tersebut, baginda berkenan menyempurnakan gimik pelancaran Sedekah Lembaga Zakat Negeri Kedah serta menerima bayaran zakat perniagaan daripada beberapa syarikat korporat iaitu Tenaga Nasional Berhad, CIMB Islamic Bank dan Enviroment Idaman Sdn.Bhd Kedah. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan yang diterima pada tahun ini berjumlah RM4.37 juta.
Baginda turut mengurniakan Wakalah Agihan Zakat berjumlah RM16.63 juta kepada beberapa agensi kerajaan dan swasta, antaranya Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Universiti Utara Malaysia, Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah dan Petronas Chemicals Fetiliser Kedah Sdn Bhd.
Selain itu, baginda turut berkenan mengurniakan jumlah keseluruhan agihan zakat sebanyak RM370 juta kepada sektor-sektor utama seperti sektor makanan dan sara hidup, bina dan baikpulih rumah, sektor pendidikan, sektor kesihatan dan sektor kebajikan muallaf.
Turut berlangsung, pengurniaan agihan zakat fitrah tahun 2025 kepada asnaf dalam kategori fakir, miskin, muallaf dan fisabilillah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM14.48 juta.
Majlis ini diakhiri dengan Majlis Berbuka Puasa bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah.
Post a Comment