KERJASAMA PKNK-SRM UTAMA SELAMBAU: LONJAKAN KEDAH KE ARAH TENAGA HIJAU
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, usaha ini diharapkan dapat menyumbang kepada penyelesaian isu perubahan iklim di peringkat global, selain meransang pertumbuhan dan pembangunan sektor ekonomi berkaitan tenaga lestari di negeri Kedah.
“Penekanan terhadap pembangunan tenaga lestari ini adalah antara aspirasi negara untuk mencapai sasaran pelepasan GHG (gas rumah kaca) bersih sifar pada tahun 2050,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Syarikat SRM Utama Selambau Sdn Bhd yang berlangsung di Wisma PKNK, Alor Setar.
“Kerjasama antara PKNK dan SRM Utama Selambau menunjukkan kesungguhan dan iltizam Kedah dalam membantu merealisasikan matlamat perubahan iklim meskipun Malaysia hanya menyumbang kurang dari 0.7 peratus daripada GHG dunia,” jelasnya.
Tambahnya lagi, perkara ini memberi impak positif kepada negeri Kedah dan dijangka bakal meningkatkan pelaburan serta menarik lebih banyak syarikat korporat yang memerlukan bekalan elektrik hijau.
“Kerajaan negeri sesungguhnya akan sentiasa menyokong sebarang bentuk kerjasama antara pihak awam dan swasta dalam membangunkan Loji Tenaga Solar Berskala Besar di Kedah demi kesejahteraan dan kemakmuran ekonomi rakyat sebagaimana yang telah dibuktikan oleh PKNK dan SRM Utama Selambau Sdn Bhd,” ucapnya.
Post a Comment