KONSEP HARGAI JASA SUKARELAWAN MASYARAKAT PERLU DIHIDUPKAN
SUNGAI PETANI - Konsep mengenang budi dan menghargai jasa sukarelawan dalam masyarakat perlu terus dihidupkan dan disuburkan.
Menurut Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, YB Dato' Ustaz Mohd Azam Abd Samat, merekalah insan yang telah bersusah payah dan secara sukarela menunaikan tuntutan fardu kifayah terhadap masyarakat.
"Saya sangat menghargai dan menyeru kepada Tuan-tuan dan Puan-puan supaya terus menabur khidmat dalam bidang kepakaran masing-masing dan dapat menurunkan ilmu tersebut kepada generasi muda."
Beliau berkata demikian mewakili Menteri Besar Kedah dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Peringkat Daerah Kuala Muda bertempat di Masjid Al-Imam Al-Nawawi, Ambangan Heights.
Jelasnya, program menghargai kumpulan guru al-Quran sukarela, bidan kampung, bomoh patah, mudim, penggali kubur, tukang mandi jenazah dan mualaf, pertama kali diadakan pada tahun 2009 semasa era Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak menjadi Menteri Besar.
Tambah beliau, penghargaan yang diusahakan itu masih tidak cukup berbanding dengan jasa besar yang disumbangkan oleh mereka dalam masyarakat selama ini.
Katanya, diharapkan akan ada pihak lain yang turut mengambil inisiatif bagi meraikan para sukarelawan masyarakat ini dari masa
ke masa, sama ada di peringkat kampung, mukim atau sebagainya.
"Walaupun sekarang zaman sudah banyak berubah, bidan kampung sudah digantikan dengan bidan klinik kerajaan dan mudim pun sudah jarang-jarang ada namun dari segi nilai, ia tidak akan berubah," ujarnya lagi.
Daerah Kuala Muda menerima 900 penerima sumbangan yang merangkumi enam DUN iaitu DUN Bukit Selambau, Dun Bukit Gurun, Dun Tanjung Dawai, Dun Pantai Merdeka, Dun Sidam dan Dun Bakar Arang.
Post a Comment