Header Ads

test

PRAKTIKKAN AMALAN MENZIARAHI SUKARELAWAN MASYARAKAT

BANDAR BAHARU - Sukarelawan masyarakat seperti bidan kampung, guru al-Quran, bomoh patah, pengurus jenazah, dan penggali kubur memainkan peranan amat penting dalam kehidupan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, YB Dato’ Ustazah Hajah Siti Ashah Haji Ghazali, amalan menziarahi sukarelawan masyarakat perlu dipraktikkan oleh semua pihak sebagai tanda mengenang jasa.
"Setiap kita boleh mengambil langkah sendiri untuk mendatangi atau menziarahi makcik-makcik yang mmembidankan kelahiran kita, menziarahi guru Al Quran yang pernah mengenalkan kita kepada huruf hijaiyah dan menziarahi tok mudim yang menyunatkan kita dahulu.
"Seawal dilahirkan, bersunat, belajar mengaji, main bola patah tangan, naik motor patah kaki, dah meninggal, sampai nak masuk kubur pun kita memerlukan khidmat mereka seumur hidup.
"Bagilah sumbangan apa yang ada kerana melalui mereka kita menjadi hamba Allah yang baik bacaan al-Qurannya."
Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa dan Program Penyampaian Sumbangan Kepada Guru Al-Quran, Mualaf, Bidan Kampung, Pengurusan Jenazah, Bomoh Patah dan Penggali Kubur bagi Daerah Bandar Baharu di Masjid Al-Fateh, Serdang.
Tambahnya, majlis penyampaian sumbangan setahun sekali itu belum mampu menandingi jasa besar mereka dalam masyarakat.
Jelas beliau, seramai 150 sukarelawan masyarakat dari enam buah mukim di daerah Bandar Baharu diraikan dalam majlis tersebut.
Beliau turut mengingatkan semua pihak untuk melakukan sebanyak mungkin amal ibadah di bulan Ramadan yang dijanjikan berlipatganda ganjaran pahala.

Tiada ulasan