SETIAP LAPISAN MASYARAKAT PERLU HORMATI PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Baginda turut menekankan bahawa perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk, memerlukan sensitiviti dan saling menghormati antara satu sama lain, khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama.
"Ini adalah tanggungjawab bersama yang mesti dipikul, dengan penuh rasa prihatin dan kesedaran tinggi.
"Oleh itu, Beta menyeru agar setiap individu perlu sentiasa menghormati prinsip-prinsip tersebut, demi memastikan perpaduan yang kukuh terus terpelihara di negeri ini," titah Baginda.
Baginda bertitah demikian bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah ke-83 di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit di sini, hari ini.
Tambahnya, Baginda memandang serius akan beberapa perkembangan semasa yang boleh menggugat keselamatan dalam negeri, khususnya melibatkan penyebaran ajaran dan fahaman yang bertentangan, dengan ajaran Islam yang sebenar.
Sultan Kedah menyeru Majlis Agama Islam Negeri Kedah, masjid-masjid, surau-surau serta sekolah-sekolah agama memainkan peranan agar usaha dan tindakan membendung ajaran sesat, fahaman menyimpang dan pengaruh radikal dapat dilaksanakan dengan lebih tegas namun berhemah.
"Peranan para ulama, imam, dan para pendakwah yang diiktiraf dan bertauliah, amat penting dalam membimbing masyarakat.
"Beta ingin memberi peringatan agar, sebarang kupasan agama, ceramah dan dakwah yang disampaikan hendaklah tepat, agar tidak menimbulkan kekeliruan atau perpecahan dikalangan masyarakat," titah Sultan Kedah lagi.
Baginda turut menzahirkan rasa syukur dan berbangga atas pencapaian negeri Kedah yang dinobatkan sebagai Johan keseluruhan, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025.
Kata Baginda, itu merupakan petunjuk bahawa usaha berterusan dalam memperkukuh institusi hafazan di negeri ini, semakin membuahkan hasil.
"Peranan Institut Al-Quran Darul Aman, perlu diperkasakan bagi melahirkan lebih ramai huffaz berkualiti dan berwibawa serta mengangkat semula kegemilangan sejarah Kedah sebagai pusat ilmu Al-Quran yang unggul," titah Baginda.
Post a Comment