Header Ads

test

KEDAH KOMITED MEMARTABATKAN ISLAM SEBAGAI TERAS JATI DIRI UMAT


ALOR SETAR – Kerajaan negeri komited dalam memelihara kesucian manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai teras aqidah dan pegangan umat serta memastikan syiar Islam terus kukuh gemilang di Kedah.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, usaha ini dikembangkan melalui program keagamaan, menaik taraf serta pemerkasaan institusi pengajian Islam.
“Kerajaan Tuanku memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk terus mengembangkan ilmu ukhrawi melalui program keagamaan serta memperkemas prasarana melalui pelaksanaan program menaik taraf serta menyelenggara masjid dan surau di seluruh pelusuk negeri,” katanya.
Tambahnya, keutamaan kepada agenda pemerkasaan institusi pegajian Islam diberikan dalam meneruskan tradisi ilmu.
“Selain daripada Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR), Maktab Mahmud, sekolah-sekolah agama serta institusi Pondok yang berdaftar, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) juga mendapat perhatian khusus Kerajaan Tuanku khasnya dalam pembinaan kolej kediaman pelajar yang dijangka bermula pada penghujung tahun ini, melalui peruntukan negeri,” jelasnya.
Beliau berkata, usaha pemerkasaan ini merupakan tekad kerajaan negeri dalam memberi kemudahan kepada para pelajar dengan hasrat murni melahirkan insan berilmu cemerlang di dunia dan akhirat.
“Kerajaan Tuanku berikrar teguh untuk memelihara dan mengukuhkan keharmonian serta kedamaian dalam kehidupan beragama, seiring dengan peruntukan yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-darjah serta Bintang-bintang Kebesaran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman ke-83 di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit.
“Justeru itu, walaupun agama Islam dimartabatkan sebagai agama negeri ini, agama-agama lain bebas untuk diamalkan dengan aman, harmoni dan penuh saling hormat-menghormati demi kesejahteraan bersama,” ucapnya.

Tiada ulasan