Header Ads

test

FHMAPK2025: SEMARAKKAN SEMANGAT WARISAN DAN PERPADUAN


ALOR SETAR- Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK2025) menyemarakkan semangat warisan dan perpaduan antara warga muzium serta pencinta budaya tanah air dan antarabangsa.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, YB Dato' Haji Mohd Salleh Saidin, kerajaan negeri menyokong penuh peranan institusi muzium sebagai gedung ilmu, pusat pemeliharaan khazanah dan jambatan generasi dalam menyuburkan jati diri dan memahami nilai peradaban.
"Selamat datang ke negeri Kedah, sebuah negeri yang kaya dengan sejarah, subur dengan adat dan penuh keikhlasan dalam menyambut tamu.
"Kehadiran lebih 800 peserta dan warga muzium dari seluruh negara serta delegasi antarabangsa amatlah dihargai," ujarnya dalam Majlis Makan Malam Kesejahteraan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK2025) bertempat di Muzium Padi, Gunung Keriang.
Jelasnya, penyertaan itu merupakan cerminan semangat kesatuan yang teguh dalam memperkukuh jaringan warisan dan aspirasi budaya antara masyarakat tempatan dan global.
Tambah beliau lagi, Kedah bukan sahaja negeri yang sarat dengan tinggalan sejarah, malah sentiasa ke hadapan dalam memelihara dan memartabatkan warisan bangsa.
"Dalam dunia yang semakin moden ini, peranan muzium kekal relevan sebagai tempat rujukan identiti dan pemangkin semangat kebangsaan.
"Semoga segala matlamat festival ini tercapai dengan jayanya, dan manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat dengan penuh rasa bangga," katanya.

Tiada ulasan