Header Ads

test

MUZIUM KEDAH PACU PEMERKASAAN WARISAN NEGARA

ALOR SETAR – Muzium Negeri Kedah terus memainkan peranan penting dalam memelihara warisan negeri sebagai cerminan kepada ketamadunan bangsa.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penganjuran Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2025 merupakan pentas untuk meraikan kepelbagaian budaya di samping memperkukuhkan semangat kebangsaan.
“Muzium bukan sekadar tempat menyimpan sejarah, tetapi platform untuk menghidupkan semula warisan dalam bentuk yang segar dan interaktif.
“Di Kedah, warisan bukan hanya sejarah, tetapi jiwa dan semangat yang membentuk identiti kita bersama,” katanya sewaktu ucapan di Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 di Muzium Padi.
Tambahnya, kerajaan negeri Kedah sentiasa komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha memelihara sejarah dan warisan negeri melalui semangat perpaduan dan tanggungjawab bersama.
“Kami menyambut baik usaha Kementerian Perpaduan Negara dalam memperkasa institusi muzium melalui cadangan Rang Undang-Undang Muzium Malaysia (RUUMM). Ini adalah langkah penting ke arah tadbir urus yang lebih profesional dan beretika, selaras dengan piawaian antarabangsa,” ujarnya.
Jelasnya lagi, sokongan penuh turut diberikan melalui usaha digitalisasi dan inovasi dalam penyampaian kandungan muzium agar lebih inklusif dan mesra generasi baharu.
“Penganjuran FHMAPK 2025 ini amat bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 bertemakan “Experience Kedah”, satu ajakan mesra rakyat Kedah untuk pelancong datang dan alami sendiri keunikan negeri ini.
“Saya menyeru kepada semua kontinjen muzium, penggiat warisan, pelajar dan pelancong, ambillah peluang ini untuk benar-benar “Mengalami Kedah”. Rasai kehangatan budayanya, keindahan alamnya dan kekayaan sejarahnya,” ucapnya.

 

Tiada ulasan