MERDEKAKAN JIWA, BUKAN SEKADAR LAUNGAN
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rakyat perlu sentiasa berwaspada dengan racun pemikiran yang semakin dinormalisasikan terutama dalam kalangan generasi muda.
“Dari hari ke hari, banyak perkara-perkara yang dahulunya dianggap pelik, kini telah diterima sebagai normal. Kita bimbang jika ini adalah normalisasi yang telah menjadi strategi senyap untuk mencapai satu tujuan yang terselindung,” katanya.
Menurut beliau, penjajahan bukan lagi sekadar merampas sempadan atau kuasa politik, tetapi kini menjalar melalui penjajahan minda dan gaya hidup rakyat.
“Kita bimbang apabila mutakhir ini ada naratif baru yang sedang digembar-gemburkan konon Bintang 3 itu juga pejuang kemerdekaan. Inilah pengaruh-pengaruh baru yang sedang dinormalisasikan dalam pemikiran masyarakat kita pada hari ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Kedah Tahun 2025 di Taman Jubli Emas, Alor Setar.
Tambahnya lagi, masyarakat kini seolah-olah dipaksa menerima sepenuhnya naratif pihak luar tanpa mampu bersuara.
“Saya bimbang sekiranya perbuatan seperti ini memang disengajakan atau sebagai satu simbolik untuk menguji sensitiviti kita ataupun menyatakan hasrat mereka yang tertentu,” ulasnya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap gejala memasang bendera terbalik, malah ada pihak yang mewarnakan Jalur Gemilang dengan hitam putih.
“Kemerdekaan mesti dipelihara, dikawal dan dijaga.
"Pengisiannya haruslah ditentukan berpaksi pada nilai-nilai jati diri yang berteraskan budaya hidup rakyat negara ini,” tegasnya.
Sanusi menegaskan, tiada makna sekiranya kemerdekaan tanpa kedaulatan dan tidak ada kedaulatan yang hanya sekadar laungan dan teriakan slogan kosong.
“Merdekakan jiwa untuk menghayati kemerdekaan yang sebenar. Jiwa yang merdeka tetap akan merdeka meskipun jasad dipenjara, jiwa yang terpenjara tetap akan terpenjara meskipun jasadnya merdeka. Pilihlah kemerdekaan yang mana satu kita mahu untuk diri kita dan keluarga kita,” laungnya.
Post a Comment