Header Ads

test

KEDAH FOKUS PEMERKASAAN PENDIDIKAN ISLAM SECARA HOLISTIK


ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah komited membangunkan negeri sebagai pusat kecemerlangan ilmu berteraskan pengajian Islam melalui sistem pendidikan holistik dan inklusif.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, usaha ini dizahirkan melalui peranan Lembaga Zakat Negeri Kedah yang menyalurkan agihan di setiap peringkat bagi memartabatkan pendidikan Islam sebagai pelaburan terbaik untuk masa depan negeri.
“Pemerkasaan institusi pendidikan Islam memerlukan satu rangka pembangunan yang komprehensif.
“Setiap nilai kekuatan yang ada pada institusi harus ditonjolkan, setiap kelemahan perlu diperbetulkan malahan kekuatan yang ada sebenarnya mampu memberi nilai tambah dan kekuatan kepada sistem dan kurikulum pengajian Islam moden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Agihan Wakalah Zakat dan Pemberian Bantuan Operasi kepada Institusi Pendidikan Islam Negeri Kedah Tahun 2025 di Dewan Insaniah, Alor Setar.
Jelasnya, komitmen ini bertujuan memastikan pembinaan generasi pewaris yang bukan sahaja berilmu bahkan berakhlak, berdaya saing serta mampu memimpin masyarakat di peringkat negeri, negara dan antarabangsa.
“Saya juga mengambil kesempatan ini, menyeru kepada semua Institusi Pengajian Islam di negeri Kedah yang belum berdaftar untuk mendaftarkan institusi masing-masing dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah bagi membolehkan bantuan terus disalurkan dengan lebih baik,” serunya.
Tambahnya, dengan komitmen berterusan ini, Islam akan terus mekar berpaksi mewarnai negeri Kedah melalui sistem pendidikan dalam memacu kesejahteraan ummah.
Beliau turut menyeru para alumni institusi berteraskan pengajian Islam agar menyumbang dalam pembangunan dan kemajuan Islam.
“Para alumni institusi tidak boleh tercicir dalam proses ini. Mereka mempunyai kekuatan dan kebolehan tersendiri yang dapat meneroka khazanah tradisi pengajian Islam klasik hasil karya ulama silam dengan baik.
“Kekuatan ini sangat diperlukan dalam usaha berterusan untuk membina tamadun dan peradaban Islam di Kedah yang bakal melahirkan generasi pelapis ulama pewaris Islam,” ujarnya.

Tiada ulasan