KERAJAAN NEGERI LULUSKAN BANTUAN OPERASI JABATAN HAL EHWAL AGAMA NEGERI KEDAH SEBANYAK RM1.55 juta
Menurut Pengerusi Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, YB Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat, sejumlah RM1,1540,000 diberikan kepada 46 Sekolah Rendah Agama Rakyat, 38 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat dan 125 Maahad Tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.
Jelasnya lagi, bagi Institusi Pendidikan Pondok yang berdaftar sebanyak 44 buah akan menerima peruntukan sebanyak RM225,000.
Katanya, Institusi Pengajian yang berdaftar dengan Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (HESA) sebanyak 88 buah akan menerima peruntukan sebanyak RM176,000.
“Pemberian bantuan operasi ini merupakan satu bentuk kepedulian dan amanah daripada kerajaan Negeri dan pihak Zakat khususnya kepada pelajar-pelajar yang memerlukan untuk meringankan beban dan kos perbelanjaan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Pejabat Kewangan & Perbendaharaan Negeri Kedah yang menerima dan meluluskan kertas cadangan di bawah peruntukan B.06 Pemberian Bantuan Sekolah Agama Rakyat dan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang memberi peruntukan kepada Institusi Pondok dan Madrasah dengan menggunakan Wakalah LZNK,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Agihan Wakalah Zakat Dan Pemberian Bantuan Operasi Negeri Kedah Bersama YAB Menteri Besar Kedah Tahun 2025 di Dewan Insaniah, Kompleks Pembangunan Asnaf LZNK, Mergong di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, bantuan yang disalurkan oleh pelbagai pihak terutamanya pihak zakat adalah sebagai tanda tanggungjawab dan kecaknaan terhadap kebajikan semua Institusi Pengajian Islam yang dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah.
Menurutnya, majlis itu merupakan pertemuan yang ke lima berkaitan dengan pemberian bantuan operasi sejak mula diperkenalkan pada tahun 2021.
“Gunakanlah bantuan ini dengan penuh rasa tanggungjawab dengan sebaik mungkin bagi melancarkan operasi institusi pengajian masing-masing,” nasihat beliau.
Post a Comment