HARI KEBAJIKAN HAIWAN DIDIK MASYARAKAT BERSIFAT IHSAN
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, YB Haji Dzowahir Haji Ab Ghani, penyakit Rabies bukan sahaja melibatkan bahaya kepada haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing tetapi turut boleh menjangkiti ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing.
"Menjadi kewajipan kita untuk memastikan 5 prinsip kebajikan haiwan dipatuhi dan diamalkan iaitu persekitaran yang sesuai, diet yang betul, mampu mempamerkan kelakuan semulajadi, dilindungi dari kesakitan dan penyakit serta keperluan ditempatkan berkumpulan atau berasingan.
"Semua pemilik haiwan perlu mengamalkan pengurusan yang baik dengan menerapkan nilai-nilai insani kebajikan haiwan dalam pengurusan haiwan serta perlu membudayakan nilai-nilai ini dalam masyarakat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Kebajikan Haiwan Dan Sambutan World Rabies Day Peringkat Negeri Kedah anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah bagi Tahun 2025 bertempat di Mini Stadium Pendang, hari ini.
Tambahnya, program itu juga dimeriahkan dengan Himpunan Lembu Sado 4.0 yang di sertai oleh pelbagai negeri khususnya dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan serta Terengganu yang menghimpunkan sejumlah 100 ekor lembu sado pelbagai baka dan juga pameran ternakan kambing.
Jelasnya sebanyak enam kategori lembu sado yang dipertandingkan antaranya King, Queen, Prince, Princess dan juga Anak Muda Sado.
Kata beliau lagi, program itu juga dapat menarik minat penternak yang menghimpunkan dan merapatkan lagi para penternak seluruh Malaysia.
"Diharapkan program itu dapat menarik minat anak-anak muda untuk menceburi bidang penternakan demi menjamin keterjaminan makanan.
"Semoga program seperti ini dapat memberi gambaran yang lebih jelas mengenai isu-isu, peraturan dan garis panduan terkini yang boleh dilaksanakan oleh semua seiiring dengan kemajuan teknologi," katanya.
Post a Comment