Header Ads

test

KEDAH TUMPU USAHA MEMELIHARA PERPADUAAN KAUM


ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah memberi tumpuan khusus dalam memastikan perpaduan kaum terpelihara dan semua kaum turut serta dalam menjayakan agenda The Greater Kedah.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam dan NGO, Wong Chia Zhen, antara usaha yang dilakukan adalah penganjuran program berteraskan perpaduan komuniti.
“Pelbagai program seperti sambutan perayaan pelbagai kaum, sukan perpaduan, aktiviti gotong-royong dan program kemasyarakatan di peringkat akar umbi terus dilaksanakan bagi mengukuhkan hubungan dan saling mengenali antara komuniti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahmad Sulaiman (PAS – Belantik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Jelasnya lagi, program di bawah agenda The Greater Kedah menjadi platform penyatuan masyarakat melalui pelbagai projek pembangunan sosial, ekonomi dan kemasyarakatan yang melibatkan semua lapisan rakyat.
Tambah beliau, semua jabatan dan agensi digerakkan untuk melaksanakan program yang menekankan nilai kebersamaan, toleransi dan hormat-menghormati selaras dengan aspirasi ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.
Katanya, kerajaan negeri memastikan skim bantuan seperti Tabung Usahawan Wanita, SejahteraCare, Bantuan Pesakit Terlantar (BSPT) dan Rumah Transit disampaikan secara adil dan saksama, tanpa mengira kaum atau latar belakang penerima.
“Usaha diteruskan untuk menanam nilai perpaduan, cinta negeri dan semangat kekitaan dalam kalangan generasi muda melalui program pendidikan di sekolah, institusi pengajian dan belia.
“Kita bersyukur kerana suasana pentadbiran negeri ini tidak dipenuhi dengan suara-suara yang gemar mengapi-apikan sentimen kaum, seperti yang kita lihat di sesetengah negeri lain,” kata beliau.

Tiada ulasan