KULIM PERLU DIANGKAT SEBAGAI ZON EKONOMI KHAS STRATEGIK NEGARA - HAIM HILMAN
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, negara-negara lain jauh lebih ke hadapan dalam menyediakan platform pelaburan berskala besar.
Menurutnya, oleh itu negara perlu pertingkatkan pembangunan infrastruktur strategik bagi memperkukuhkan daya saing pelaburan negeri dan negara dalam memperbanyakkan lagi zon ekonomi berskala besar.
“Kulim mempunyai potensi strategik untuk diiktiraf sebagai special economic zone (SEZ), bukan sekadar kawasan perindustrian biasa. Kita tawarkan seluas 17,000 ekar di Kulim Industrial Corridor dan 5,000 ekar di KHTP.
“Kerajaan terlepas pandang untuk mengangkat Kulim sebagai destinasi pelaburan terbaik negara dan memberi sokongan infrastruktur sebaiknya. Apa yang ada hari ini memadai, tetapi belum cukup untuk membawa wow factor kepada negara dan pelabur luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Khairul Anuar Ramli (Bersatu-Lunas) berkaitan kemudahan asas di kawasan perindustrian utama di Kedah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Haim Hilman berkata, China memiliki 500 zon ekonomi khas, manakala di seluruh dunia terdapat lebih 5,400 zon seumpamanya.
“Namun di Malaysia, hanya ada dua, iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam. Dunia sedang bersaing menyediakan platform pelaburan terbaik, tetapi kita masih bergerak perlahan,” jelasnya.
Tambah beliau, Kedah memiliki Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan sedang membangunkan SBEZ di Bukit Kayu Hitam, yang berpotensi besar dibangunkan dalam skala lebih besar.
“Pentingnya untuk menyediakan infrastruktur penghubung (connectivity) seperti lebuh raya yang lebih efisien antara kawasan perindustrian bagi menarik pelabur. Namun, sentimen politik antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat menyebabkan pembangunan infrastruktur sering tertangguh.
“Kita masih melihat dalam konteks keuntungan dahulu barulah dibangunkan prasarana, inilah kegagalan kita untuk melihat gambaran lebih besar,” katanya.
Dalam konteks negeri Kedah, beliau mengakui infrastruktur berada pada tahap sederhana baik, namun belum cukup untuk menjadikan negeri itu sebagai ‘the crown jewel’ pelaburan negara.
“Kerajaan Pusat perlu melihat betapa strategiknya Kedah. Kita sedia menawarkan kawasan perindustrian yang luas, malah kita jauh lebih ke hadapan berbanding Pulau Pinang.
“Keluasan Kulim 1,344 kilometer persegi, lebih besar daripada Pulau Pinang yang hanya 1,048 kilometer persegi sedangkan kedua-duanya berjiran, jadi kita telah mempersiapkan kawasan-kawasan perindustrian kita,” katanya.
Haim Hilman tegaskan, pembangunan industri memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat, bukan dalam konteks persaingan.
“Segala hasil cukai dibawa ke Pusat, jadi kerjasama ini harus dilihat sebagai satu pasukan untuk memacu pembangunan industri negara,” katanya.

Post a Comment