KERAJAAN NEGERI HARGAI SUMBANGAN MASYARAKAT INDIA DI KEDAH
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam dan NGO, YB Wong Chia Zhen, masyarakat India memainkan peranan penting dalam semua sektor untuk membina negeri Kedah menjadi lebih maju dan harmoni.
“Kita sedar bahawa kemajuan masyarakat India juga adalah kemajuan negeri Kedah.
Atas semangat inilah, portfolio saya telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Majlis Sambutan Perayaan Deepavali Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2025.
“Majlis ini turut menghimpunkan pimpinan masyarakat kaum India, wakil-wakil daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, pertubuhan-pertubuhan masyarakat serta wakil komuniti tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Sambutan Hari Deepavali Peringkat Negeri Kedah Tahun 2025 di Dewan SP Swarnabumi, di sini.
Jelasnya, sebagai kerajaan yang prihatin pelbagai inisiatif dan bantuan sosial telah disalurkan kepada komuniti India melalui Pejabat Menteri Besar, Pejabat EXCO dan melalui program pembangunan masyarakat bukan Islam.
Katanya lagi, kerajaan negeri Kedah sentiasa berusaha untuk memastikan dasar dan program yang digubal tidak meminggirkan mana-mana kaum, termasuklah masyarakat India.
Tambah beliau, bagi menyokong aktiviti pendidikan dan sosial untuk memperkasa generasi muda India, kerajaan negeri Kedah sentiasa komited membantu dan memperkasakan komuniti India.
“Komitmen itu dizahirkan melalui usaha murni di mana kerajaan negeri menyalurkan peruntukan kewangan kepada 18 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh Kedah bagi tujuan aktiviti murid serta penyelenggaraan kecil di sekolah.
“Di samping itu, kerajaan turut menyalurkan bantuan kebajikan kepada keluarga yang berpendapatan rendah tanpa mengira agama dan kaum,” ujar beliau.

Post a Comment