PERPADUAN RAKYAT TERUS KUKUH MELALUI USAHA KERAJAAN NEGERI
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, usaha dalam memastikan keadilan dan keprihatinan rakyat akan terus diutamakan tanpa membezakan latar belakang kaum, agama, ideologi politik dan status ekonomi.
“Saya adalah pemimpin kepada 2.2 juta rakyat Kedah. Bukan sahaja ketua kepada orang Melayu sahaja, bukan ketua kepada orang Islam sahaja dan bukan orang PAS sahaja. Kita bertanggungjawab memimpin kepada semua kaum, khususnya juga 129,055 orang penduduk kaum India yang ada di Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Sambutan Perayaan Deepavali Peringkat Negeri Kedah Tahun 2025 di Dewan Swarnabumi, Sungai Petani.
“Untuk pastikan saya sentiasa bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab ini, saya telah menjadikan slogan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ sebagai dasar kerajaan negeri,” ujarnya.
Tambahnya, nilai-nilai positif serta sikap saling menghormati yang telah sekian lama dipupuk dalam kalangan rakyat Kedah merupakan warisan yang perlu diteruskan agar budaya ini tidak runtuh.
“Menyedari bahawa kebanyakan penduduk negeri Kedah masih dibelenggu dengan masalah taraf hidup, saya jadikan orang miskin, anak-anak yatim dan siapa sahaja yang memerlukan pembelaan sebagai golongan yang paling dekat dengan hati saya.
“Teruskanlah berbuat kebajikan untuk masyarakat dan kepada orang, mulakanlah kebaikan dalam diri kita sendiri, jadikan hari ini lebih baik daripada semalam,” ucapnya.

Post a Comment