AKTA LARANGAN BUANG SAMPAH DI TEMPAT AWAM BERKUATKUASA 2026
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, usaha itu perlu dilakukan susulan pindaan Akta 672, Akta 171 dan Akta 133 berkaitan Perintah Khidmat Masyarakat bagi larangan pembuangan sampah kecil di tempat awam menjelang tahun 2026.
"Penguat kuasa MBAS sentiasa berada selangkah di hadapan dalam menguatkuasakan peraturan kerana segala tindakan yang dilakukan akan menjadi contoh kepada penguat kuasa PBT lain di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perbarisan penguat kuasa MBAS sempena ulang tahun MBAS ke-22, di perkarangan pejabat MBAS, di sini, hari ini.
Jelas Mansor, usaha yang dilakukan oleh MBAS dalam menyiarkan berita penguatkuasaan di media sosial harus diberi pujian kerana masyarakat kini telah membuka mata dan telinga untuk lebih cakna akan hal-hal yang berlaku dalam kawasan pentadbiran Bandaraya Alor Setar.
“Perkara sebegini mampu mengubah persepsi masyarakat yang kini lebih banyak menyokong usaha yang dilakukan MBAS di samping dapat menambah baik kualiti perkhidmatan sedia ada.
"Namun, perkembangan teknologi yang pesat pada masa kini menuntut setiap anggota penguat kuasa untuk lebih kreatif dan berinovasi dalam mendepani segala cabaran,” ujarnya.
Tambah beliau, keperluan untuk menggunakan teknologi seperti kamera badan dan pemasangan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di tempat awam perlu diperluaskan lagi bagi memastikan keberkesanan tindakan penguatkuasaan.
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
#mbas

Post a Comment