Header Ads

test

KEM BINA SAHSIAH PERKUKUH AGENDA PEMBANGUNAN INSAN


POKOK SENA – Pembangunan insan perlu digerakkan seiring dengan agenda pembangunan negeri Kedah bagi membentuk insan berkualiti sebagai aset masa hadapan negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood berkata, pembentukan insan khususnya kalangan generasi muda masa kini perlu digiatkan secara bersepadu bagi membina kekuatan dalaman sekali gus melahirkan sistem pendidikan terbaik di negeri Kedah.

“Setiap tahun kita laksanakan Kem Bina Sahsiah. Program ini diteruskan walaupun kita menyedari dari segi kewangan, perbelanjaan yang terlibat adalah besar.

“Namun, kita yakin hasil daripada pelaksanaan Kem Bina Sahsiah ini akan beri pulangan dan impak terbaik terhadap pembangunan insan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutup Kem Bina Sahsiah siri ke-16 Tahun 2025, di Sekolah Menengah Islam Darul Ulum, di sini.

Menurut Ustaz Salim, usaha berterusan ini digerakkan oleh Sekretariat Pembangunan Insan Negeri Kedah di bawah pemantauan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Hajah Ustazah Siti Ashah Ghazali.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Insan Negeri Kedah menzahirkan keazaman untuk membentuk perubahan positif kalangan generasi masa kini yang berdepan pelbagai cabaran, termasuk pengaruh negatif yang boleh merosakkan pemikiran dan jati diri.

“Kita ingin melahirkan insan yang hebat dan berdaya saing, yang kelak akan bertebaran menjadi pemimpin pada masa hadapan,” ujarnya.

Pada penganjuran Kem Bina Sahsiah kali ini yang diadakan selama 11 hari  melibatkan seramai 200 peserta. 

Pelbagai pengisian dan pendedahan diberikan termasuk disiplin diri dalam kehidupan seorang Muslim, pembinaan imej remaja, pengurusan kesihatan mental dan sosial, kisah inspirasi dari balik tirai besi, pengajian asas fardhu ain, kursus pengurusan jenazah serta aktiviti memanah.

#UrusSetiaPeneranganDarulAman

#UPDA

#ADUNBukitLada 

#kembinasahsiah

Tiada ulasan