LEBIH 5,000 BIKERS SELURUH NEGARA ‘BERKAMPUNG’ DI LANGKAWI
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato' Haji Mohd Salleh Saidin berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan dan menyokong program yang mengangkat kreativiti belia dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat sebagaimana SAU Langkawi 2025.
"Penganjuran SAU ini sekaligus memberi suntikan bernilai tinggi kepada ekosistem pelancongan negeri Kedah, khususnya di Langkawi, terutama pada musim cuti persekolahan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Perasmian Penutup Program Mega Gathering Santai Anak Utara (SAU) Langkawi 2025, di Tapak Parkir Kompleks LADA, Kuah, di sini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dato’ Shahruddin Abu Sohot; Pegawai Daerah Langkawi, Mohd Subhi Abdullah dan Ketua Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Langkawi, Iskandar Zulkarnain Mohamed Ali.
Mohd Salleh berkata, walaupun julung kali diadakan di Pulau Langkawi, SAU berjaya menghimpunkan ribuan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya komuniti belia dan peminat automotif dari seluruh wilayah utara tanah air.
"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada teraju utama penganjuran, Saudara Acai dan Ikram Jetski, atas inisiatif berani dan kreatif yang berjaya menarik kehadiran pelancong melalui program hebat itu.
"Saya menaruh harapan SAU edisi berikutnya akan kembali lagi ke Langkawi dengan sentuhan kreatifnya bagi terus menjulang imej Pulau Permata Kedah yang sedia gemilang itu," kata beliau.

Post a Comment