MAJLIS PELUNCURAN KEDAH DIGITAL BLUEPRINT 2025-2050 (KDBP 2050)
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor merasmikan Majlis Peluncuran Kedah Digital Blueprint 2025-2050 (KDBP 2050) yang berlangsung di Wisma Darul Aman, hari ini.
Majlis ini merupakan usaha kerajaan negeri dalam menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri digital yang berdaya saing, inklusif dan berpaksikan teknologi untuk semua lapisan masyarakat. Inisiatif ini selari dengan visi ‘Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni’ serta misi dalam memacu pembangunan sosioekonomi yang inklusif, berdaya saing dan mampan.
Usai majlis peluncuran, Menteri Besar Kedah turut menghadiri Mesyuarat Majlis Digital Negeri Kedah (MDNK) melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, ketua-ketua Jabatan SUK, Jabatan Digital Negara (JDN), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC), Kedah Digital Centre (KDC) dan Utiliti Infra Darul Aman (UiDA).
Usaha mewujudkan satu platform utama ini adalah bagi menilai kemajuan, menyelaras hala tuju dan menggerakkan seluruh ekosistem digital negeri Kedah ke arah masa depan yang lebih moden, cekap dan berdaya saing, sekali gus menjadikan Kedah sebagai negeri yang bersedia untuk masa depan.
Inisiatif ini dizahirkan selaras perkembangan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, Internet of Things (IoT), data raya (Big Data), blockchain serta keselamatan siber moden yang menuntut transformasi pendigitalan menyeluruh dalam perkhidmatan kerajaan negeri.
MDNK menjadi platform strategik dalam memacu keseluruhan agenda digital kerajaan negeri. Agenda ini bukan sekadar pelengkap system kerajaan, tetapi menjadi nadi utama dalam mengukuhkan perkhidmatan kerajaan moden.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Mohd Fauzi Mustaffa; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan), Dato' Dr Nadzman Mustaffa; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah.







Post a Comment