Header Ads

test

PROGRAM PALAPES AKAN DIPERKENALKAN DI UNISHAMS



ALOR SETAR - Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) akan memulakan program Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dalam masa terdekat.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, program berkenaan akan memberi fokus kepada pembentukan kepimpinan pelajar, dengan sasaran melahirkan graduan berdaya tahan, berdisiplin dan berjiwa kental.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara UniSHAMS dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu diyakini mampu memartabatkan reputasi universiti itu di persada pendidikan tinggi negara.

“Kerjasama ini akan menjadi titik permulaan kepada kerjasama lebih luas.

“Pelajar UniSHAMS akan jadi ROTU (Reserve Officers’ Training Unit). Ini bukan hanya untuk kerjaya ketenteraan, tetapi untuk melahirkan pemimpin pelapis masa depan yang lebih kental,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan watikah pelantikan Profesor Adjung (Bidang Sains Sosial) Kuliyyah Kaunseling, Pendidikan dan Sains Sosial, UniSHAMS kepada Panglima Angkatan Tentera, Profesor Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Pahlawan Mohd Nizam Jaafar, di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Pelantikan tersebut berkuat kuasa bermula 20 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2027.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Naib Canselor UniSHAMS, Profesor Dr Mohd Amy Azhar Dato’ Mohd Harif; Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Fouzi Sulaiman; Pendaftar UniSHAMS, Hj Mohd Fahmi Sheikh Omar serta Dekan Kuliyyah Kaunseling, Pendidikan dan Sains Sosial, Prof Datin Dr Sapora Sipon.

Sanusi berkata, pelantikan Mohd Nizam disifatkan signifikan bukan sahaja kepada universiti berkenaan, malah kepada kerajaan negeri dan landskap pendidikan tinggi negara.

“Pelantikan berkenaan membuka ruang kepada perkongsian pengalaman dan ilmu kepimpinan strategik yang luas untuk dimanfaatkan pelajar, pensyarah serta komuniti universiti.

“Semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta perlu manfaatkan semua pengalaman yang ada dalam negara ini. Banyak pengalaman dimiliki beliau, kalau dibiarkan begitu sahaja, ia satu kerugian besar kepada negara,” katanya.

Tambah beliau, pengalaman luas Mohd Nizam dalam bidang pertahanan dan kepimpinan negara boleh dikongsi secara langsung dengan pelajar dan tenaga akademik, sekali gus memperkukuhkan ekosistem pembelajaran di UniSHAMS.

Sementara, Mohd Nizam berkata, progam PALAPES merupakan yang pertama seumpamanya di UniSHAMS dan beliau berharap usaha itu dapat melahirkan lebih ramai pemimpin masa depan yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.

“Mudah-mudahan apa yang kami ada dapat dikongsi bukan sahaja dengan pelajar, tetapi juga dengan masyarakat sekeliling.

“Program ini bukan sahaja untuk anggota tentera, ia juga dapat menyediakan bakat-bakat pelapis pemimpin akan datang yang lebih bersemangat, berjiwa kental dan versatile,” ujar beliau.



Tiada ulasan