PROGRAM PERMATAKU SEJAHTERA BIMBING ANAK KEDAH DALAM PENDIDIKAN
PEDU – Anak-anak adalah aset berharga yang perlu dibimbing sejak awal kerana mereka berpotensi besar untuk muncul sebagai pemimpin pelapis.
Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan, Dato' Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, mereka merupakan aset penting dan berpotensi menjadi pimpinan keluarga, negeri serta negara pada masa hadapan.
“Justeru, anak-anak kita perlu dibimbing dan disokong dengan penuh kasih sayang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi temuramah bersama keluarga di Program Permataku Sejahtera di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Mohd Radzi Mad Amin dan Pengurus Cawangan Pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Negeri Kedah, Khairul Asraf Ahmad Zamri.
Siti Ashah memaklumkan, seramai lima kanak-kanak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu mendapat perhatian menerusi Program Permataku Sejahtera.
“Ziarah ini melibatkan lima kanak-kanak terdiri daripada dua perempuan dan tiga lelaki sebagai keprihatinan terhadap kebajikan dan masa depan mereka.
"Sumbangan yang disalurkan bukan sekadar bantuan semasa, diharapkan dapat dijadikan tabungan awal bagi membantu anak-anak ini menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas tamat persekolahan kelak," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memanjatkan doa agar anak-anak Permataku Sejahtera membesar sebagai anak yang soleh dan solehah.
Program Permataku Sejahtera Kerajaan Negeri Kedah menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM200 kepada setiap bayi yang dilahirkan di Kedah bermula Mac 2024 melalui akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
#permatakusejahtera

Post a Comment