Header Ads

test

AGENDA PENGURUSAN SISA BERI IMPAK POSITIF KEPADA PELABURAN DAN PELANCONGAN

 

Roslinda Hashim

SUNGAI PETANI - Pengurusan sisa pepejal bukan sekadar isu kebersihan, sebaliknya merangkumi aspek kesihatan awam, kelestarian alam sekitar, perubahan iklim serta daya saing ekonomi negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Inovasi dan Teknologi, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, kegagalan menyediakan sistem pengurusan sisa yang berkesan boleh menjejaskan kesihatan awam, mencemarkan alam sekitar, menjadikan bandar tidak berdaya huni serta memberi kesan negatif kepada pelaburan dan pelancongan.
“Bandar yang bersih dan terurus memberi isyarat positif kepada rakyat, pelabur dan pelancong bahawa Kedah diurus dengan baik dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program ‘E-Idaman Inspire Supervisory Programme Graduation’, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd, Zaki Abdul Aziz Daud.
Haim Hilman berkata, peranan penting pengurusan sisa di Kedah digalas oleh E-Idaman sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda kelestarian dan kebersihan bandar, merangkumi pengurusan sisa harian, pembersihan awam serta pemupukan budaya kitar semula.
“Kita hargai sumbangan E-Idaman menjadikan Kedah sebuah negeri lebih berdaya huni, bandar yang bersih dan terurus kerana ia tarikan positif kepada pelabur dan pelancong,” katanya.
Beliau turut berkongsi cabaran di peringkat nasional, yang mana Malaysia menghasilkan kira-kira 39,000 tan sisa pepejal sehari, bersamaan 1.17 kilogram sisa per orang sehari, atau bersamaan 14 juta tan sisa setiap tahun.
“Angka itu lebih tinggi berbanding purata dunia sebanyak 0.74 kilogram per orang sehari, sekali gus menunjukkan corak penggunaan dan janaan sisa di Malaysia lebih intensif berbanding purata global, dan memerlukan pendekatan sistemik,” ujar beliau.
Haim Hilman memaklumkan, di peringkat global, dunia kini menjana lebih dua bilion tan sisa pepejal setahun, dengan jumlah itu dijangka meningkat kepada hampir 3.8 bilion tan menjelang 2050 sekiranya tiada perubahan menyeluruh dalam pengurusan sisa.
“Negara maju seperti Jepun, Jerman, Korea Selatan dan Singapura telah menjadikan pengurusan sisa sebagai sebahagian strategi negara, sama ada melalui penekanan disiplin dan teknologi, pembangunan ekonomi kitaran atau mengubah sisa kepada sumber bernilai.
“Kesemua model ini mempunyai satu persamaan, iaitu pelaburan bukan sahaja tertumpu kepada teknologi, tetapi juga kepada pembangunan manusia yang mengendalikan sistem,” katanya.
Tambah beliau, cabaran pengurusan sisa masih ketara di banyak bandar di Asia dan Afrika apabila negara berpendapatan rendah hanya mampu mengutip sekitar 39 peratus sisa secara formal, negara berpendapatan sederhana 51 peratus, manakala negara berpendapatan tinggi sekitar 96 peratus.
“Secara global, hanya kira-kira 13.5 peratus sisa dikitar semula dan 5.5 peratus dikompos, manakala selebihnya dilupuskan tanpa kaedah kitar semula berkesan, menunjukkan masih banyak potensi untuk kitar semula dipertingkatkan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, dunia menghasilkan sekitar 62 juta tan sisa elektronik (e-waste) pada 2022 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 82 juta tan menjelang 2030, namun hanya 22 peratus e-waste dikutip dan dikitar semula secara formal, sekali gus membuka peluang luas kepada pembangunan ekonomi kitaran dalam sektor teknologi.

Tiada ulasan