BUDAYAKAN GAYA HIDUP SIHAT MENERUSI 1 BULAN 1 SUKAN
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah melaksanakan inisiatif 1 Bulan 1 Sukan sebagai usaha menggalakkan amalan gaya hidup sihat secara berterusan, di samping memberi peluang kepada rakyat Kedah mencuba pelbagai jenis sukan mengikut kemampuan masing-masing.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelaksanaan konsep 1 Bulan 1 Sukan dianjurkan secara konsisten sepanjang tahun dengan menetapkan setiap Khamis minggu keempat, agar program ini mudah diikuti oleh masyarakat.
“Saya mahu mengajak rakyat Kedah agar lebih aktif dan tidak terperangkap dalam gaya hidup pasif.
“Semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan pengusaha premis sukan diharap menyokong program ini.
Contohnya, pertimbangkan pengurangan caj sewaan atau beri diskaun khas pada hari Khamis minggu keempat setiap bulan kepada penganjur sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program 1 Bulan 1 Sukan Peringkat Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman.
Melalui penganjuran program ini, aktiviti sukan bulanan melibatkan pelbagai jenis sukan, iaitu berbasikal (Januari), pickleball (Februari), badminton (Mac), senamrobik (April), bola tampar (Mei), e-sport (Jun), futsal (Julai), mendaki (Ogos), fun run (September), ping pong (Oktober), boling ten pin (November) dan sepak takraw (Disember).
Sanusi berkata, usaha menggerakkan inisiatif gaya hidup sihat ini merupakan langkah penting dalam menjaga kesihatan dan kecergasan badan, sekali gus menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutin harian.
“Apabila tubuh sihat, fikiran tenang dan emosi lebih stabil, kita dapat laksana tanggungjawab sebagai individu, pekerja dan anggota masyarakat dengan lebih baik,” ujarnya.
Tambah beliau, sambutan program ini digalakkan di semua peringkat sama ada komuniti, sektor kerajaan mahupun swasta bagi membentuk ketahanan mental dan fizikal yang kukuh, selain mencegah pelbagai penyakit.
“Saya ingin nasihatkan seluruh rakyat Kedah agar ambil peluang ini sebaik mungkin. Jangan tunggu sehingga kesihatan merosot untuk berubah. Mulakan dengan diri sendiri dan ajak ahli keluarga, rakan serta jiran-jiran untuk sama-sama bersukan,” katanya.
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
#mbkedah
#1bulan1sukan

Post a Comment