Header Ads

test

MERBAU PULAS TERBAKAR LAGI, TERBAHARU PADANG BOLA DAN BELUKAR

 

Abu Muhammad Zayd Hasni

KULIM - Beberapa kebakaran kecil dilaporkan berlaku di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas melibatkan kawasan padang bola dan belukar, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk walaupun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) masih berada pada paras sederhana.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, Dato’ Ustazah Hajah Siti Ashah Ghazali berkata, insiden terbaharu pada Khamis membabitkan kebakaran padang bola di Taman Damai serta kebakaran belukar di Taman Serai Wangi Fasa 3 dan 4, yang kini dalam pemantauan pihak berkuasa.

Menurut beliau, walaupun kedudukan taman-taman berkenaan agak jauh dari Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Padang Cina yang terbakar pada Selasa, ia berpotensi meningkatkan kesan pencemaran udara akibat kebakaran berulang.

“Kesemua kawasan yang terbakar itu berada dalam DUN Merbau Pulas. Bacaan IPU semasa yang direkodkan sekitar 67 hingga 80 (sederhana), namun risiko kesihatan akibat pendedahan berterusan kepada asap kebakaran tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Siti Ashah telah meminta Ahli Majlis, Ustaz Faiz Tajul Urus turun ke lapangan bagi meninjau kejadian kebakaran di Taman Serai Wangi Fasa 3 dan 4, pada petang Khamis bagi mengenal pasti punca kejadian serta menilai tahap kerugian dialami penduduk terjejas. 

Turut serta, Penghulu Mukim, Safwan Mat Soleh bagi memastikan penyelarasan bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien di peringkat mukim.

Sebelum ini, pada Selasa, kebakaran besar dilaporkan berlaku di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Padang Cina melibatkan kawasan seluas kira-kira 1.4 hektar, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kualiti udara di sekitar Merbau Pulas.

Siti Ashah turut menasihatkan penduduk sekitar Padang Cina dan Merbau Pulas supaya tidak mengambil ringan aspek kesihatan, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas, ibu mengandung dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.

“Penduduk disarankan untuk berada di dalam rumah, mengurangkan aktiviti luar serta memakai pelitup muka jika perlu keluar. Sekiranya mengalami simptom seperti sesak nafas, batuk berpanjangan atau ketidakselesaan pernafasan, rawatan perubatan perlu diperoleh segera.

“Penduduk boleh memantau perkembangan semasa melalui aplikasi MyEQMS atau saluran rasmi JAS selain elakkan menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan awam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Kulim serta semua agensi dan individu yang terlibat dalam mengawal situasi kebakaran.

#UrusSetiaPeneranganDarulAman

#UPDA

#kebakaran 

#ADUNMerbauPulas

Tiada ulasan