Header Ads

test

KEDAH CATAT PELABURAN DILULUSKAN RM17.53 BILION, KELIMA TERTINGGI DALAM NEGARA

 



Roslinda Hashim ALOR SETAR - Kedah mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM17.53 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2025, sekali gus menduduki tempat kelima tertinggi dalam negara. Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama dengan nilai pelaburan RM15.80 bilion, melibatkan 62 projek serta mewujudkan 7,797 peluang pekerjaan. Menurutnya, sektor perkhidmatan pula merekodkan pelaburan sebanyak RM438.8 juta, melibatkan 36 projek dan menyediakan 26 peluang pekerjaan, sekali gus mencerminkan kepelbagaian struktur ekonomi negeri. “Antara subsektor pembuatan bernilai tinggi yang mencatatkan pelaburan terbesar ialah Elektrik dan Elektronik (E&E) sebanyak RM4.51 bilion, diikuti Peralatan Pengangkutan bernilai RM4.20 bilion serta Kimia dan Produk Kimia sebanyak RM3.07 bilion,” katanya. Haim Hilman berkata, Kedah turut merekodkan peningkatan ketara nilai pelaburan apabila mencatatkan RM34.0 bilion pelaburan diluluskan bagi tempoh Januari hingga September 2024, berbanding RM22.6 bilion bagi tempoh sama pada tahun 2023. “Pencapaian tersebut mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap keupayaan Kedah sebagai destinasi pelaburan strategik, khususnya dalam sektor pembuatan bernilai tinggi, yang menyokong penciptaan pekerjaan, pemindahan teknologi dan kelestarian industri jangka panjang. “Saya akan berusaha sedaya upaya memastikan pasukan pelaburan Kedah memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pelabur yang memilih Kedah sebagai destinasi pelaburan mereka,” ujarnya. Terbaharu, katanya, Kedah berjaya menarik pelaburan strategik berteknologi tinggi apabila Novolyte Technology Sdn Bhd memulakan projek pelaburan bernilai RM264 juta di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP). Projek tersebut melibatkan pembangunan kilang bahan elektronik di atas tanah seluas 10.195 ekar, dengan pelaburan fasa awal bertumpu kepada pengeluaran bahan elektrolit dan bahan kimia elektronik bagi aplikasi berkaitan bateri. Haim Hilman berkata, perkembangan itu membuktikan pelaburan yang masuk ke Kedah adalah berteraskan ekonomi dan berorientasikan perniagaan, sekali gus menepis dakwaan tidak berasas pihak tertentu yang cuba menjejaskan imej negeri. Beliau turut memaklumkan, China menjadi pelabur terbesar di Kedah bagi suku ketiga 2025, dengan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM4.52 bilion, melibatkan 11 projek dan menyediakan 2,015 peluang pekerjaan. Antara syarikat China yang melabur di Kedah termasuk EVE Energy (M) Sdn. Bhd. (penyimpanan tenaga bateri),Unimx Technology (M) Sdn. Bhd. (bateri litium-ion), Shangtai Technology (M) Sdn. Bhd. (pembuatan bateri), Luminous Beauty Glass Sdn. Bhd. (pengeluar botol kaca kosmetik),Tongda Smart Tech (M) Sdn. Bhd. (produk suntikan plastik), AlphaEss (M) Sdn. Bhd. (penyimpanan tenaga bateri) serta Xin Sheng Environmental (M) Sdn. Bhd (pemulihan logam). “Kerajaan Negeri melalui Invest Kedah Bhd akan terus menyediakan sokongan menyeluruh kepada pelabur dari peringkat pra-pelaburan hingga pasca-pelaburan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek serta merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya. Haim Hilman jelaskan, China juga merupakan rakan dagang terbesar Malaysia untuk tahun ke-16 berturut-turut, menduduki tempat kedua dengan jumlah pelaburan RM35.77 bilion (AS$8.82 bilion) melibatkan 230 projek diluluskan sehingga suku ketiga 2025. Perkongsian strategik Malaysia-China itu menyaksikan lebih 30 perjanjian kerjasama dimeterai semasa lawatan Presiden Xi Jinping ke Kuala Lumpur pada April 2025, meliputi sektor inovasi digital, kecerdasan buatan (AI), navigasi satelit (BeiDou), teknologi hijau, pembuatan, harta intelek dan logistik. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UPDA #TheGreaterKedah #pelaburanKedah #ADUNJitra

Tiada ulasan