Header Ads

test

KEDAH KOMITED BANGUNKAN INFRASTRUKTUR SELARI KELESTARIAN ALAM

Ku Azizah Ku Hamid
PENDANG - Kerajaan Negeri Kedah komited memperkukuhkan kerjasama strategik bersama agensi teknikal dan pihak industri bagi memastikan pembangunan infrastruktur dilaksanakan secara berkesan, berdaya tahan serta selari dengan keperluan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato’ Mohamad Yusuf @ Munir Zakaria berkata, kerajaan negeri memberi penekanan terhadap aspek kualiti, kawalan teknikal dan pematuhan piawaian dalam setiap pelaksanaan projek infrastruktur.
Menurut beliau, ia penting bagi memastikan setiap dasar dan keputusan berkaitan pembangunan infrastruktur dibuat berdasarkan kefahaman sebenar di lapangan, selain menjamin mutu bahan binaan yang digunakan memenuhi piawaian demi keselamatan dan keselesaan rakyat.
“Saya turut diberikan taklimat menyeluruh mengenai proses pengeluaran, kawalan kualiti serta pematuhan spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Kuari Batu dan Loji Pembuatan Premix milik BDB Infra Sdn Bhd di Bukit Perak, di sini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Mohd Radzi Md Amin dan Pengurus Besar BDB Infra Sdn Bhd, Zakba Shafie.
Mohamad Yusuf berkata, lawatan tersebut memberi pendedahan secara langsung kepada kerajaan negeri berkaitan rantaian proses pengeluaran bahan binaan, bermula daripada penghasilan batu mentah sehingga terhasilnya produk premix.
Beliau turut meninjau tapak operasi loji bagi melihat secara dekat setiap peringkat proses pengeluaran premix yang digunakan dalam pembinaan infrastruktur jalan raya.

Tiada ulasan