KELUARGA TINGGAL DALAM BAS USANG DIBANTU PKWR KUPANG
Oleh: Ahmad Rado
KUPANG -Sebuah bas usang berhampiran kawasan jirat Cina di Tawar menjadi singgah sana sebuah sekeluarga sejak lebih setahun lalu.
Di sisi bas buruk itu, sebuah garaj berdinding kain dijadikan tandas serta ruang untuk makan dan minum. Mereka tinggal di situ atas ihsan tuan tanah.
Ketua keluarga, Mohd Fadzil Hussain, 47, berkata dia sekeluarga terpaksa tinggal di dalam bas berkenaan kerana tidak lagi mempunyai pekerjaan sejak setahun lalu, sekali gus memaksanya berpindah dari rumah sewa.
Menurutnya, beliau mempunyai sembilan orang anak, di mana empat daripadanya tinggal bersamanya dan isteri, Siti Rohimah Hussain, 41, manakala lima lagi tinggal di sebuah rumah sewa di Kampung Padang.
“Anak yang tinggal bersama saya dan isteri masing-masing berusia 17, 12, 9 dan 7 tahun. Manakala anak berusia enam tahun, anak bongsu berusia setahun serta anak berusia 20 dan 19 tahun tinggal bersama anak sulung berusia 23 tahun di sebuah rumah sewa di Kampung Padang.
"Isteri tidak bekerja kerana masalah kesihatan yang sudah memakan tahun manakala saya banyak kali mencari pekerjaan ganti tetapi belum ada rezeki,"
"katanya yang sebelum ini bekerja sebagai buruh.
Tambahnya, anak sulung yang bekerja di sebuah kilang banyak membantu menguruskan keluarga.
"Dia banyak bantu sara adik-adiknya, meskipun pendapatannya tidaklah seberapa,"katanya.
Meskipun dihimpit masalah kewangan, pasangan suami isteri ini tidak mengabaikan pendidikan anak-anak apabila lima daripada mereka, termasuk seorang yang masih bersekolah menengah dan seorang di peringkat prasekolah.
"Alhamdulillah kami terima bantuan Zakat Kedah sebanyak Rm600 sebulan, dengan duit inilah kami gunakan untuk belanja dapur termasuk menyekolahkan anak-anak,"katanya.
Nasib malang keluarga ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brigedier Jeneral (Bersara) Dato’ Hj Najmi Hj Ahmad, yang segera meninjau keadaan keluarga berkenaan bersama pegawai khas, Encik Mohd Sabri Abu Bakar sebaik menerima aduan.
Dato’ Najmi bertindak menghantar motosikal milik keluarga ini yang rosak ke bengkel untuk dibaiki sepenuhnya bagi memudahkan ketua keluarga mencari nafkah.
Beliau juga meminta keluarga itu mencari rumah sewa secepat mungkin dengan semua kos ditanggung oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kupang.
Dalam tinjauan pagi tadi, Dato’ Najmi menyampaikan bantuan bakul makanan, kipas, set minuman air mineral serta bantuan tunai.
"Berita tentang keluarga ini saya terima sendiri daripada pasangan suami isteri ini sendiri yang datang ke PKWR Kupang untuk cop borang sekolah anak-anak mereka,"katanya.
Jelasnya, nasib keluarga ini mungkin dapat dibantu lebih awal sekiranya maklumat mengenai mereka sampai kepada PKWR, tetapi kedudukan mereka di lokasi yang agak terpencil, selain menetap di dalam sebuah bas, menyebabkan keadaan tersebut tidak diketahui ramai.
“Hasil tinjauan saya mendapati bas dan garaj yang digunakan keluarga ini sangat tidak sesuai untuk didiami. Keadaannya sangat panas pada waktu siang manakala malamnya sejuk, yang boleh mengancam kesihatan.
“PKWR telah menyampaikan bantuan awal, dalam masa kita turut mencari rumah sewa bersesuaian untuk keluarga ini. Kami juga berusaha membantu ketua keluarga atau anak-anak yang telah tamat pengajian mendapatkan pekerjaan,"katanya.
Sumber: Penerangan Pas Kupang

Post a Comment