Header Ads

test

KEDAH SASAR PELAKSANAAN E-TANAH 2027, KAJI SEMULA DASAR LAPUK

 


Roslinda Hashim
Ketua Pengarang UPDA

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah menyasarkan pelaksanaan penuh sistem e-Tanah menjelang tahun 2027 sebagai langkah mempercepatkan urusan pentadbiran tanah serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sepanjang tempoh berbaki sebelum pelaksanaan sistem berkenaan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) perlu menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan tidak lagi berpegang kepada alasan prosedur lama.
“Kita tak boleh lagi guna alasan ‘prosedur lama memang macam ini’. Dunia berubah, rakyat berubah, teknologi pun berubah. Kalau sistem boleh dipercepatkan, percepatkanlah. Kalau borang boleh dikurangkan, kurangkanlah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat 2026 sempena Program Amanat Tahun Baharu Pentadbiran Tanah Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, hari ini.
Menurut Sanusi, sistem penyampaian kerajaan negeri khususnya dalam pentadbiran tanah perlu ditambah baik setiap tahun dan penjawat awam tidak seharusnya berada dalam zon selesa sehingga menjejaskan kepercayaan rakyat.
“Jangan sampai rakyat kata urusan di pejabat tanah ini lagi lambat daripada tunggu padi masak,” tegasnya.
Beliau turut menekankan keperluan mengkaji semula dasar-dasar lapuk yang tidak lagi selari dengan keperluan semasa serta menggalakkan pegawai mengemukakan cadangan dan idea secara terbuka.
“Jangan takut buat cadangan, jangan takut lontar idea. Kritikan biarlah konstruktif. Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang sanggup baiki dirinya sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi tegaskan, sudah tiba masanya pengurusan Tanah Rizab Melayu diberi nafas baharu, termasuk menyemak semula perundangan dan dasar berkaitan.
“Enakmen Tanah Simpanan Melayu Kedah 1930 menjangkau umur 96 tahun, empat tahun lagi cukup 100 tahun. Ia perlu dinilai semula agar terus relevan dengan realiti semasa.
“Tanah Rizab Melayu bukan sekadar dokumen hak milik. Ia soal masa depan orang Melayu, ekonomi dan warisan. Saya syorkan rekod-rekod pendaftaran sentiasa dikemas kini, dan pemantauan lebih ketat bagi mengelak ruang manipulasi,” ujar beliau.
Menyentuh soal integriti, Sanusi mengingatkan pegawai pentadbiran tanah agar tidak terjebak dengan godaan rasuah dan penyelewengan yang boleh memusnahkan reputasi seumur hidup.
“Satu keputusan salah boleh rosakkan nama baik selama-lamanya. Jangan gadaikan maruah dengan habuan sementara. Rezeki ALLAH SWT luas, tak perlu cari jalan singkat,” katanya.
Beliau tegaskan, penipuan dalam urusan tanah tidak boleh ditangani secara ‘berlembut’, sama ada melibatkan pihak luar mahupun orang dalam, tindakan tegas perlu diambil demi menjaga amanah rakyat.
“Berapa banyak kerajaan kalah dalam kes di mahkamah akibat fraud yang disengajakan? Kesilapan kecil dalam urusan tanah boleh membawa kepada kerugian kewangan yang besar. Kutip hasil penat-penat, akhirnya bayar kepada pihak lain,” jelasnya.
Sanusi turut menekankan kepentingan laporan am tanah yang disediakan pegawai di lapangan, khususnya Penolong Pegawai Tanah, kerana ketepatan laporan akan menentukan keputusan kerajaan.
“Sekiranya Penolong Pegawai Tanah lapor perkara betul di tapak, betullah keputusan oleh kerajaan.
Jangan salah lapor apatah lagi ada niat menipu.
“Fail dan dokumen akan kekal di pejabat atau arkib sampai bila-bila. Pegawai yang bekerja ikut prosedur tak perlu takut, integriti dalam Islam adalah nilai teras akhlak merangkumi kejujuran, amanah, kepercayaan, dan ketaatan kepada perintah ALLAH SWT,” ujar beliau.

Tiada ulasan