Header Ads

test

KUTIPAN HASIL KEDAH TERTINGGI 25 TAHUN, BUKTI PENTADBIRAN STABIL, CEMERLANG


 Roslinda Hashim

Ketua Pengarang UPDA

ALOR SETAR - Rekod kutipan hasil tertinggi dalam tempoh 25 tahun sebanyak RM816 juta bagi tahun 2025 membuktikan kestabilan dan kecekapan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah di bawah kepimpinan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, ini menggambarkan kestabilan pentadbiran dengan penglibatan menyeluruh 'the whole government' ke arah satu matlamat yang jitu.
Menurut beliau, pencapaian tersebut mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri termasuk peranan aktif Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terus menyumbang kepada peningkatan hasil negeri untuk kemakmuran negeri ini.
“Diharap pencapaian cemerlang yang dilakar ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa. Ia memberikan perspektif bahawa gagasan The Greater Kedah bukan sekadar lafaz kosong, sebaliknya diterjemahkan melalui kejayaan yang diraih di peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, kutipan melebihi sasaran itu dengan lebihan hasil (surplus) yang turut memberangsangkan, mengukuhkan kedudukan kewangan negeri.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, termasuk barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) serta kakitangan Kerajaan Negeri dan agensi terlibat atas prestasi pentadbiran membanggakan sepanjang tahun 2025,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengajak seluruh rakyat negeri ini agar terus mendoakan kesejahteraan kepimpinan kerajaan negeri dan keseluruhan jentera pentadbiran agar dapat memimpin negeri ke arah kesejahteraan dan kemajuan yang dihasratkan.
“Semua pencapaian tersebut, selari dengan slogan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’ serta aspirasi Kedah, ‘Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti’,” jelas beliau.
Pada Rabu, Sanusi mengumumkan Kerajaan Negeri Kedah mencatatkan rekod kutipan hasil tertinggi dalam tempoh 25 tahun dengan nilai RM816 juta, melepasi sasaran ditetapkan pada kadar 103 peratus dan mengatasi sasaran RM790 juta.
Menurutnya, kutipan hasil negeri menunjukkan trend peningkatan konsisten daripada RM629 juta pada 2023, meningkat kepada RM769 juta pada 2024, sebelum mencapai RM816 juta pada 2025, selain merekodkan lebihan atau surplus sebanyak RM48 juta hasil perbandingan antara kutipan dan perbelanjaan.

Tiada ulasan