MASALAH TEKANAN AIR RENDAH SEKITAR KUALA NERANG-PADANG SANAI DITANGANI
ALOR SETAR - Masalah tekanan air rendah di beberapa kawasan sekitar Jalan Kuala Nerang-Padang Sanai (K11) akan ditangani menerusi pelaksanaan langkah penyelesaian berfasa.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, antara cadangan termasuk membina tangki simpanan air dan pemasangan booster pump bagi menampung keperluan bekalan air penduduk.
Menurut beliau, cadangan itu bertujuan mengatasi isu tekanan air rendah yang telah lama membebankan penduduk, khususnya di Kampung Pisang Hujung, selain menampung keperluan bekalan air di kawasan Jalan Dusun Resort dan persekitarannya.
“Peningkatan keperluan penggunaan air serta kapasiti sistem sedia ada yang terhad dikenal pasti sebagai antara faktor utama berlakunya gangguan tekanan air di kawasan berkenaan.
“Justeru, perancangan secara berfasa bersama agensi teknikal perlu dilaksanakan secara tersusun bagi memastikan penyelesaian jangka panjang dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas satu pertemuan diadakan melibatkan Syarikat Air Darul Aman (SADA), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Majlis Ketua Kampung (MKK) bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap isu berkenaan.
Dalam pertemuan itu, perbincangan turut menyentuh aspek teknikal termasuk kesesuaian lokasi, spesifikasi pembinaan serta penyelarasan pelaksanaan antara JKR dan SADA agar cadangan yang dirangka benar-benar memberi impak kepada rakyat.
“Isu bekalan air tidak boleh diselesaikan dengan kenyataan semata-mata. Ia memerlukan perancangan teknikal, komitmen semua pihak serta libat urus berterusan bersama pimpinan kampung,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JKR, SADA dan MKK atas kerjasama erat yang diberikan, dan menegaskan komitmen berterusan pihaknya untuk memastikan isu tekanan air rendah di kawasan terlibat ditangani secara berkesan demi kesejahteraan penduduk setempat.

Post a Comment