SEJARAH ISLAM ALAM MELAYU, INSTITUSI PONDOK BENTENG AKIDAH DIANGKAT SEMULA
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Sejarah Islam dan tamadun bangsa Melayu yang panjang serta gemilang perlu diketengahkan semula kepada masyarakat, khususnya generasi muda, bagi memastikan jasa para ulama serta peranan institusi pondok sebagai benteng akidah umat tidak terus terpinggir.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, penekanan itu dibuat menerusi penganjuran Daurah Kitab Fiqh Alam Melayu yang membincangkan asal-usul bangsa Melayu serta peranan Islam dalam membentuk sistem pemerintahan, undang-undang dan pendidikan di negeri-negeri Melayu sebelum kedatangan penjajah Barat.
Menurutnya, sejarah sebenar Alam Melayu telah lama diselewengkan melalui naratif penjajah yang menggambarkan bangsa Melayu sebagai lemah dan tidak bertamadun, sedangkan hakikatnya masyarakat Melayu memiliki sistem pentadbiran, teknologi serta pendidikan yang tersusun sejak berabad lamanya.
“Kebangkitan golongan agamawan dan ahli sejarah hari ini amat penting bagi memperbetulkan kefahaman masyarakat terhadap sejarah Islam di tanah Melayu, termasuk memanfaatkan media sosial sebagai medium penyebaran ilmu dan maklumat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Daurah Kitab Fiqh Alam Melayu bersempena Pameran Institusi Ulama dan Pondok Negeri Kedah di Muzium Negeri Kedah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Azam berkata, peranan institusi pondok sebagai antara faktor utama mempertahankan akidah umat Islam ketika era penjajahan juga wajar diketengahkan.
“Selain menguasai ekonomi dan wilayah, penjajah turut membawa agenda penyebaran agama. Namun, keteguhan ulama serta sistem pendidikan pondok berjaya memastikan ajaran Islam terus dipertahankan.
“Bagaimanapun, perjuangan berteraskan jihad ini jarang diketengahkan dalam penulisan sejarah arus perdana, menyebabkan generasi hari ini kurang menyedari bahawa negeri-negeri Melayu pernah melaksanakan sistem pemerintahan Islam sebelum campur tangan British sekitar awal abad ke-20,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan negeri merangka pelbagai usaha bagi mengangkat semula kegemilangan sejarah Kedah, termasuk pendedahan terhadap tamadun awal, teknologi peleburan besi serta sistem pentadbiran dan pendidikan yang wujud sebelum kemasukan penjajah.
Jelasnya, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penganjuran pertandingan ‘Pondok Moden’ pada 4 dan 5 Februari dengan kerjasama Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), selain simposium berkaitan ulama dan institusi pondok di Kedah melibatkan para akademik serta pengkaji sejarah.
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
#ADUNSungaiLimau

Post a Comment