IMPIAN TERHENTI DI USIA 18 TAHUN: ANAK MUDA DERANG BERJUANG MELAWAN KANSER
Oleh : Muhammad Saufi
POKOK SENA – Ujian berat yang menimpa seorang anak muda yang disahkan menghidap kanser di usia 18 tahun telah mendapat perhatian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ustaz Salim Mahmood Al Hafiz apabila beliau turun menziarahi serta menyampaikan sumbangan kepada keluarga pesakit.
Muhammad Syukri bin Abdul Latif disahkan menghidap Right Gluteal Rhabdomyosarcoma, sejenis kanser otot yang jarang berlaku dan agresif. Penyakit tersebut menyebabkan beliau terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pengajian dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada rawatan untuk sementara waktu.
Prihatin dengan nasib yang menimpa anak muda ini, ADUN Bukit Lada telah mengunjungi kediaman keluarga pesakit di Kampung Bukit Mukim Derang.
Dalam lawatan tersebut, beliau telah menyampaikan sumbangan kewangan serta sokongan moral sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab membantu rakyat yang sedang diuji kesusahan.
Turut bersama dalam ziarah tersebut ialah NGO Cancer Survivors Malaysia (CSM) yang turut menghulurkan bantuan sebagai sokongan kepada pesakit kanser serta keluarga, khususnya dalam meringankan beban kos rawatan dan keperluan harian.
Bapa pesakit, Abdul Latif bin Ramli, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ustaz Salim Mahmood Al Hafiz serta NGO Cancer Survivors Malaysia (CSM) atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan.
Perhatian serta sumbangan ini membuktikan bahawa semangat kebersamaan antara pemimpin dan NGO terus menjadi sinar harapan buat keluarga yang sedang berdepan ujian berat.
Semoga Muhammad Syukri terus diberikan kekuatan, ketabahan dan kesembuhan oleh Allah SWT, serta semoga segala kebaikan yang dicurahkan menjadi asbab keberkatan buat semua pihak yang terlibat.
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
#ADUNBukitLada

Post a Comment