Header Ads

test

TEKANAN KOS SARA HIDUP: SUARA PESAWAH DIANGKAT KE PARLIMEN

 


Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR - Isu tekanan kos sara hidup serta ketidakseimbangan rantaian industri padi yang disuarakan oleh pesawah diangkat ke Parlimen menerusi penyerahan memorandum oleh wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid berkata, memorandum berkenaan diserahkan oleh Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dan Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) sebagai usaha menyuarakan keresahan sebenar golongan pesawah.
Menurutnya, antara tuntutan utama yang dikemukakan termasuk pindaan Akta 634 atau Akta Kawalan Padi dan Beras (PNPV) 2024, isu potongan pemutuan padi yang terlalu tinggi, keperluan menaikkan harga lantai padi ke tahap lebih munasabah serta penambahan subsidi harga padi kepada pesawah.
Selain itu, katanya, memorandum turut menekankan keperluan mengurangkan kos input pesawah seperti baja, racun dan operasi ladang yang semakin membebankan.
“Memorandum ini membawa suara dan keresahan sebenar pesawah yang kini berdepan tekanan kos sara hidup serta ketidakseimbangan dalam rantaian industri padi negara,” katanya selepas penyerahan memorandum daripada wakil PeSAWAH dan FKMM sebelum memasuki Dewan Rakyat, di Parlimen pada Selasa.
Beliau tegaskan, isu keterjaminan makanan negara tidak boleh dipandang ringan dan pesawah tidak seharusnya dianggap sebagai beban, sebaliknya merupakan antara benteng utama kepada keselamatan makanan negara.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pesawah atas keberanian dan kesungguhan mereka menyuarakan hak secara beradab serta berlandaskan Perlembagaan.
“Suara pesawah ini akan terus saya bawa dan perjuangkan di Parlimen demi memastikan kebajikan mereka terbela serta kedaulatan makanan negara terus dipertahankan,” katanya.

Tiada ulasan