TUNTUTAN TERHADAP PULAU PINANG: KEDAH PERTIMBANG TIGA PENDEKATAN
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah sedang memuktamadkan dokumen undang-undang berkaitan tuntutan terhadap Pulau Pinang sebelum menentukan pendekatan terbaik sama ada melalui mahkamah, Majlis Raja-Raja atau rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembentangan akhir berkaitan tuntutan isu pajakan Pulau Pinang telah dibuat kepada kerajaan negeri oleh barisan peguam yang dilantik, namun beberapa dokumen penting masih dalam proses penyediaan.
“Apabila kesemua dokumen berkaitan siap, kita akan pilih pendekatan yang sesuai. Ada beberapa opsyen, antaranya mahkamah, Majlis Raja-Raja dan juga berunding dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program 1 Bulan 1 Sukan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Syed Khairol Anwar Syed Abidin; serta Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Md Din.
Menurut Sanusi, Kedah tidak semestinya memilih jalan perundangan semata-mata, sebaliknya rundingan secara berfakta dan berasaskan dokumen kukuh juga merupakan antara pilihan terbaik bagi mengelakkan pertikaian berpanjangan.
“Bukan nak berlawan sahaja, berunding pun boleh. Takkan rundingan nak ditolak jika dokumen dan fakta kita kukuh,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya dapat dielakkan, pendekatan rundingan adalah lebih baik berbanding membawa perkara itu ke mahkamah, selain kemungkinan membawa isu berkenaan ke Majlis Raja-Raja bagi memperbetulkan perkara yang tidak diselesaikan dengan baik pada masa lalu.
“Apa yang silap pada masa lalu, apa yang belum selesai dan dipaksa untuk diselesaikan pada masa lalu, apa salahnya kita mahu perbetulkan kesilapan lalu,” ujarnya.
Sanusi memaklumkan, kesemua dokumen berkaitan dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang.
Mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang menyifatkan tuntutan Kedah itu tidak berperlembagaan selain menyamakannya dengan tuntutan waris Sulu ke atas Sabah, Sanusi tegaskan, situasi tersebut adalah berbeza sama sekali.
“Sulu itu bukan dalam Malaysia. Di Sulu pun Sultan tak ada dah. Kita (Kedah) masih ada institusi kesultanan, jadi situasinya jauh berbeza dan tidak sama,” katanya.
Jelas beliau, Kedah akan bertindak berdasarkan undang-undang Perlembagaan sedia ada dalam sebarang tuntutan mahupun tindakan.
“Kita akan berdepan secara berperlembagaan, dalam kerangka Perlembagaan sedia ada, kita tidak akan melanggar undang-undang,” katanya.
Sanusi jelaskan, sekiranya wujud isu dan kes itu perlu dibawa ke hadapan, ia wajar ditangani melalui saluran yang betul dan berlandaskan undang-undang.
“Takkan semua tak berperlembagaan, kita pun baca buku. Insya-ALLAH perkara ini akan diselesaikan dengan baik,” katanya.
Pada 27 Januari lalu, Chow Kon Yeow dipetik berkata, tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang disifatkan sama seperti tuntutan waris Sulu ke atas Sabah, yang ditolak berdasarkan prinsip undang-undang dan kedaulatan negara
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menegaskan, tuntutan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap kedaulatan Pulau Pinang adalah tidak berperlembagaan kerana Pulau Pinang adalah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.
Sebelum ini, Sanusi memaklumkan kerajaan negeri berada di fasa akhir memuktamadkan proses perundangan oleh pasukan guaman bagi menganalisis undang-undang serta menyediakan dokumen termasuk relif berkaitan isu pajakan Pulau Pinang, susulan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah agar perkara itu diperjelaskan secara telus.
Pada 2021, Kedah menuntut bayaran pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan selepas mendapati nilai pajakan itu tidak pernah dinilai semula sejak 1786.

Post a Comment