KEDAH SEMARAKKAN HIMPUNAN MINGGU AL-QUDS SEDUNIA 2026, JUMAAT INI
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Negeri Kedah akan menjadi lokasi penutup Himpunan Minggu Al-Quds Sedunia 2026 pada Jumaat ini, bertempat di Dataran Medan Bandar berhadapan Masjid Zahir.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, himpunan itu merupakan usaha berterusan untuk menyatakan solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza yang masih berhadapan dengan sekatan, kebuluran dan kekejaman berterusan.
Program yang bermula di Terengganu pada 16 Januari itu turut diraikan di seluruh negeri dan dijangkakan lebih 5,000 peserta bakal memeriahkan acara utama, Kedah Walk 4 Al-Quds dan Palestin.
“Ramai yang merasakan seolah-olah rakyat Gaza dan Palestin telah kembali aman. Liputan media mengenai mereka semakin berkurangan, entah kenapa isu tersebut tidak lagi diberi tumpuan.
“Mungkin kita sendiri semakin kurang cakna dan jarang berkongsi tentang penderitaan mereka. Hakikatnya, penderitaan rakyat Palestin masih berterusan, kekejaman belum berakhir, sekatan masih mencengkam, dan kebuluran semakin berleluasa,” katanya, hari ini.
Mohd Azam berkata, Minggu Al-Quds Sedunia adalah inisiatif tahunan bertaraf antarabangsa menerusi platform kemanusiaan untuk Gaza yang menuntut solidariti global yang tersusun dan berterusan.
“Setiap tahun bulan Rejab adalah bulan memperingati peristiwa yang berlaku kepada saudara Islam kita di bumi Palestin, dan di seluruh dunia dianjurkan Minggu Al-Quds.
“Ia berfungsi sebagai platform solidariti menyatakan sokongan rakyat Kedah terhadap penderitaan rakyat Palestin, selain memberi pendidikan berfakta kepada masyarakat mengenai isu Al-Quds dari perspektif kemanusiaan dan keamanan sejagat.
“Pendekatan yang kita gunakan bersifat kemanusiaan sepenuhnya tanpa melibatkan sebarang elemen politik kepartian,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, acara di Kedah dimulakan dengan solat Maghrib, bacaan Surah Yasin dan Solat Hajat Untukmu Gaza dan Palestin secara serentak pada Khamis.
“Keesokan harinya (Jumaat), seawal 4.00 pagi diadakan Qiyamullail Perdana sebelum diteruskan dengan program ‘Subuh Macam Jumaat’ di Masjid Zahir, diikuti kuliah Subuh. Acara turut diserikan dengan konvoi motosikal untuk Palestin.
“Program diteruskan dengan Kedah Walk 4 Al-Quds, bermula 7.30 pagi sejauh 2.5 kilometer, bermula dan berakhir di Dataran Medan Bandar. Ia melibatkan checkpoint di Pekan Rabu, Ukir Mall dan Menara Alor Setar, dengan paparan banner gergasi, aktiviti tandatangan solidariti, cop tangan serta paparan infografik,” katanya.
Mohd Azam berkata, acara penutup dijangka diadakan pada 10.00 pagi, termasuk penyerahan sumbangan kemanusiaan dan cabutan bertuah, dan diakhiri dengan Solat Jumaat beserta khutbah khas.
“Majlis penutup dimeriahkan dengan ucapan Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman yang juga pengarah program; Pengerusi GCQP Malaysia, Dr Khalil Zayyan; serta Penasihat Pertubuhan Pencinta Baitulmaqdis, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
“Program ini menggabungkan pengisian kerohanian, gaya hidup sihat serta merangkumi aktiviti solidariti kemanusiaan,” katanya.
Tambah beliau, matlamat utama himpunan ini bukan sekadar membina empati, malah mampu memperkukuhkan kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan negeri, serta memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai isu Al-Quds dari pelbagai perspektif.
“Saya mengajak seluruh rakyat Kedah memeriahkan program ini, ayuh semarakkan himpunan bagi memperingati perjuangan rakyat Palestin agar terus dibela dan seterusnya mencapai kemerdekaan.
“Lebih 10 NGO turut memeriahkan acara julung kali ini, antaranya Pertubuhan Pencinta Baitulmaqdis, Muslim Care, PAS Relief serta Yayasan Kedah Sejahtera,” katanya.

Post a Comment