Header Ads

test

KASIH IBU SELAMATKAN NYAWA ADIK ARASH, SELAMAT JALANI PEMINDAHAN HATI

 

Roslinda Hashim 

PENDANG - Detik penuh debar akhirnya bertukar gembira apabila kanak-kanak penghidap kanser hati, Muhammad Arash Zulkarnain Mohamad Fariz Najdi, 3, berjaya menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji, Shanghai, China pada 29 Januari lalu.

Bapa kepada Adik Arash, Mohamad Fariz Najdi Mahamad Subri, 31, berkata, pembedahan tersebut  mengambil masa lebih sembilan jam bermula sekitar 8 pagi sebelum selesai kira-kira jam 5.45 petang.

Menurutnya, pemindahan sebahagian hati isterinya, Nor Syatirah Zairenor, 31, juga berjalan lancar demi menyelamatkan nyawa anak kedua mereka.

“Keseluruhan hati anak saya dibuang dan digantikan dengan 20 peratus hati ibunya. Keadaan isteri saya stabil manakala Arash juga menunjukkan perkembangan positif selepas kedua-duanya selesai menjalani pembedahan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohamad Fariz Najdi, keadaan Arash menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila fungsi hati baharu mula bertindak balas secara positif, selain keputusan ujian darah berada pada tahap memuaskan.

“Limpa Arash juga terpaksa dibuang dan kini dia berada dalam keadaan stabil, namun masih dipantau rapi oleh pasukan perubatan,” katanya.

Tambahnya lagi, isterinya berada dalam keadaan stabil dan sudah mampu berjalan perlahan-lahan selepas menjalani prosedur berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamad Fariz Najdi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang tampil menghulurkan bantuan sehingga membolehkan pembedahan kritikal itu dilaksanakan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan dan menyumbang sehingga dana yang diperlukan mencukupi. Hanya ALLAH SWT yang mampu membalas segala kebaikan dan keprihatinan yang ditunjukkan,” katanya.

Sebelum ini, keluarga berkenaan berdepan detik sukar apabila dilaporkan buntu mencari dana pemindahan hati berjumlah RM185,000, dengan kutipan awal pada 28 Disember lalu hanya mencecah RM2,000.

Bagaimanapun, hasil sokongan masyarakat seluruh negara serta bantuan Pertubuhan Biliary Atresia Semalaysia (BAMA), kutipan dana itu akhirnya melepasi sasaran dengan jumlah terkumpul mencecah RM212,106.75.

Arash disahkan menghidap Langerhans’ Cell Histiocytosis (LCH), sejenis kanser jarang berlaku yang menyerang hati sejak awal kelahirannya sehingga menyebabkan kegagalan fungsi organ berkenaan.

Kos keseluruhan pembedahan dianggarkan sekitar RM185,000, dengan Nor Syatirah menjadi satu-satunya individu yang sesuai dan sanggup mendermakan sebahagian hatinya demi menyelamatkan nyawa anak tersayang.


ARTIKEL BERKAITAN:


https://www.facebook.com/share/p/17nd8Lo5eC/ 


https://www.facebook.com/share/p/1E1SFC9su3/


#UrusSetiaPeneranganDarulAman

#UPDA

Tiada ulasan