‘MAI SINGGAH ALOR SETAR - SEMUA ADA’ TONJOL IDENTITI KEDAH
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Inisiatif berterusan dilakukan bagi menonjolkan keindahan, keunikan serta potensi Alor Setar sebagai destinasi pelancongan yang lengkap dan beridentiti.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, Dzowahir Ab Ghani berkata, kempen terbaharu itu menggabungkan elemen warisan, kebudayaan dan inovasi moden bagi menarik minat pelancong tempatan serta antarabangsa untuk berkunjung ke ibu negeri Jelapang Padi.
“Di Alor Setar, semua ada, dari segi sejarah dan warisan termasuk warisan diraja serta bangunan bersejarah dan kisah negeri berdaulat. Kita juga miliki kepelbagaian budaya dan seni, serta keunikan makanan daripada hidangan tradisi Kedah hingga sajian kontemporari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan logo dan tagline pelancongan baharu, ‘Mai Singgah Alor Setar - Semua Ada’, sebagai usaha berterusan memperkukuh daya tarikan bandar raya itu sempena Karnival Ulang Tahun ke-22 Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di Stadium Darul Aman.
Hadir sama, Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya.
Dzowahir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti berkata, tagline ‘Semua Ada’ mencerminkan realiti dan kekuatan sebenar Alor Setar.
“Alor Setar juga menawarkan pelbagai kemudahan untuk keluarga dan komuniti termasuk ruang riadah, aktiviti kesihatan serta program kemasyarakatan, di samping hospitaliti dan laluan pelancongan mesra pengunjung,” ujarnya.
Tambah beliau, tarikan semula jadi seperti Sungai Kedah, Gunung Keriang, Pantai Leman serta Padang Garam melengkapkan kelebihan bandar raya ini sebagai destinasi pelancongan bersepadu.
Dalam pada itu, Dzowahir mengajak masyarakat memupuk rasa bangga terhadap Alor Setar dan memainkan peranan sebagai duta kecil walau di mana sahaja, selaras dengan ulang tahun ke-22 pengisytiharan Alor Setar sebagai bandar raya.
“Sejak diisytiharkan sebagai bandar raya 22 tahun lalu, MBAS terus memikul amanah merancang dan membangunkan Alor Setar secara seimbang, merangkumi pembangunan fizikal, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta pemeliharaan identiti warisan,” katanya.
Beliau tegaskan, pembangunan bandar raya bukan hanya tertumpu kepada bangunan dan infrastruktur semata-mata, sebaliknya dibentuk oleh sejarah, budaya, nilai masyarakat dan semangat kekitaan.
Menurut Dzowahir, penganjuran karnival tersebut melambangkan kebersamaan antara pihak berkuasa tempatan, rakan strategik dan komuniti dalam meraikan pencapaian, memperkukuh jalinan kerjasama serta memperkenalkan wajah Alor Setar sebagai bandar raya progresif dan beridentiti.
“Kerjasama strategik ini turut menampilkan kepelbagaian sajian tradisional, moden dan fusion sebagai simbol kreativiti masyarakat setempat, sekali gus memberi dimensi baharu kepada pengunjung.
“Pendekatan ini sekaligus membina pengalaman pelancongan bandar yang lebih holistik dan berimpak,” ujarnya.
Beliau jelaskan, MBAS akan terus komited memperkukuh kerjasama awam dan swasta, menyokong peniaga tempatan, memperkasa ekonomi kreatif serta memastikan pembangunan bandar yang inklusif dan mampan.
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
#MBAS

Post a Comment