Header Ads

test

PENDEKATAN TURUN PADANG KUKUHKAN HUBUNGAN KERAJAAN-RAKYAT

 


Ku Azizah Ku Hamid
KUBANG PASU - Kerajaan Negeri Kedah sentiasa berusaha mengukuhkan pendekatan turun padang bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif pembangunan benar-benar menepati keperluan rakyat serta memberi impak langsung kepada komuniti setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja merapatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat, malah menjadi medium penting untuk mendengar sendiri suara komuniti di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan hanya dapat diperkukuhkan apabila keperluan sebenar mereka dikenal pasti dan ditangani secara berkesan.
“Kesejahteraan dan keberkatan sesebuah negeri bergantung kepada iman serta ketakwaan rakyat sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-A‘raf ayat 96, yang menjanjikan limpahan berkat kepada masyarakat beriman dan bertakwa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jelajah Mesra Rakyat Mukim Sanglang sempena Hari Komuniti Kampungku Sejahtera DUN Kota Siputeh, di sini, hari ini.
Siti Ashah berkata, konsep keberkatan itu diterjemahkan melalui kestabilan ekonomi, keharmonian masyarakat, hasil yang melimpah serta kehidupan yang lebih tenang dan penuh kesyukuran.
Beliau tegaskan, program Jelajah Mesra Rakyat merupakan platform strategik untuk menyampaikan maklumat secara terus, menyelaras bantuan serta mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
“Program seumpama juga dapat merapatkan jurang antara agensi kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya lagi.
Tambah beliau, pelbagai aktiviti komuniti turut diadakan termasuk pertandingan ‘Orang Kampung Got Talent’ serta pameran melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dan perkhidmatan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat yang menjayakan program ini, dan berharap usaha berterusan ini mampu membina komuniti yang lebih harmoni, berdaya tahan serta sejahtera selaras dengan aspirasi Kedah Darul Aman,” ujarnya.

Tiada ulasan