SILAT ASET WARISAN, PUPUK PERPADUAN, DISIPLIN DAN AKAL BUDI
Ku Azizah Ku Hamid
KUALA KEDAH - Silat bukan sekadar seni mempertahankan diri, sebaliknya benteng akal budi, disiplin jiwa serta lambang identiti bangsa Melayu dan Nusantara yang telah merentas sejarah ratusan tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, kerajaan negeri menyifatkan silat sebagai aset warisan yang perlu terus diperkasakan, selain menjadi instrumen pembinaan belia dan pemangkin perpaduan komuniti.
“Kerajaan akan terus menyokong usaha persilatan yang tersusun, berimpak dan berteraskan nilai warisan,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Silat Tanding dan Seni Berkumpulan yang diadakan serentak dengan Himpunan Legasi Ismail Chik Terbuka Kedah 2026 di Muzium Kota Kuala Kedah, di sini.
Program berkenaan menghimpunkan lebih 1,000 pesilat, jurulatih dan penggiat seni mempertahankan diri, sekali gus memperkukuh peranan Kedah sebagai antara pusat penyatuan persilatan di negara ini.
Menurut Mohd Salleh, penganjuran dua program secara serentak itu merupakan langkah strategik bagi memastikan silat terus berkembang sebagai sukan kompetitif tanpa mengabaikan nilai tradisi yang menjadi tunjangnya.
“Gabungan kejohanan dan himpunan legasi ini melengkapkan penganjuran kerana di dalamnya ada cabaran dan adab, ada kemenangan dan nilai,” ujarnya.
Beliau berkata, silat tidak boleh berdiri atas pertandingan semata-mata, manakala warisan pula tidak akan hidup tanpa generasi yang menggerakkannya.
Dalam pada itu, Mohd Salleh merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Taring Harimau Fighters Academy selaku penganjur utama serta semua perguruan dan persatuan yang berganding bahu menjayakan program berskala besar tersebut.

Post a Comment