1 BULAN 1 SUKAN: HAMPIR 100 PESERTA MERIAHKAN PICKLEBALL KEDAH 2026
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Hampir 100 peserta memeriahkan Kejohanan Pickleball Kedah 2026, sekali gus membuktikan kempen 1 Bulan 1 Sukan terus mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan rakyat Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din berkata, penyertaan peserta berusia seawal 13 tahun hingga 60 tahun dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang membuktikan sukan berkenaan semakin mendapat tempat serta berperanan mengeratkan jaringan komuniti.
“Penganjuran kali ini memberi fokus kepada pendedahan dan pembinaan keyakinan diri khususnya kepada pemain baharu serta mereka yang belum pernah menyertai kejohanan berskala besar.
“Ada yang datang dari jauh, ada yang bawa keluarga memberi sokongan di tepi gelanggang. Inilah matlamat kita dalam memastikan rakyat Kedah sentiasa cergas dan hubungan komuniti terus kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu Kejohanan Pickleball Kedah 2026 yang berlangsung di One Pickle Club, Kompleks Simpang Kuala.
Menurut Muhammad Radhi, melalui platform kempen 1 Bulan 1 Sukan, usaha memperluas serta memperkenalkan pelbagai jenis sukan dapat dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh di negeri ini.
Kejohanan tersebut menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM5,000 melibatkan kategori beregu lelaki, beregu wanita serta individu lelaki bagi tempat pertama, kedua dan ketiga.
“Kejohanan ini juga dianjurkan dengan kerjasama dan sokongan padu daripada Pickleball Loqstaq, One Pickle Club, Kedah Pickle Queen, Titimerah Sdn Bhd serta Pertubuhan Penggerak Masyarakat Alor Setar,” ujarnya.

Post a Comment